top of page
  • Writer's pictureNihaba

Tiada lagi suara sumbang kedengaran


Hari ini, jumlah jangkitan baru kes Covid-19 yang dilaporkan setakat ini adalah 24,599 kes berbanding 22,642 kes, semalam dan sekaligus menjadi angka harian tertinggi sejak pandemik melanda negara tahun lepas dengan kes kumulatif terkumpul sebanyak 1,640,843 kes.


Tiga negeri mencatatkan paras tertinggi hari ini, semuanya di luar Lembah Klang. Negeri-negeri yang dimaksudkan adalah Sabah, Pulau Pinang dan Johor. Sabah mencapai paras tertinggi 3,487 iaitu hari ketiga berturut-turut yang menyaksikan kes di negeri tersebut melebihi 3,000. Johor pula buat julung kalinya telah mencecah angka 2,000 kes dan telah mencatatkan kes tertinggi sebanyak 2,785 kes. Pulau Pinang juga mencatatkan tahap tertinggi pada 2,078, ini kali kedua jangkitan baru di negeri itu melebihi 2,000 kes.


Berdasarkan data terkini, nilai kebolehjangkitan CovidD-19 atau R-Naught (Rt) Malaysia semalam adalah 1.02 dengan negeri yang mencatatkan nilai Rt tertinggi ialah Sarawak dan Perlis iaitu 1.22 diikuti Sabah 1.21 dan Pulau Pinang 1.12.


Negeri-negeri yang mencatat nilai Rt di bawah 1 pula adalah Melaka, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan Negeri Sembilan.


Kes terus mencanak tinggi, Perdana Menteri sudah bertukar 2 kali, Kerajaan yang dikhabarkan kononnya gagal tidak lagi menerajui negara, malah mencatatkan peningkatan yang mendadak jauh lagi cepat daripada dahulu. Mana perginya suara-suara sumbang yang lantang mengkritik kerajaan? Tuli dan bisu? Lupa ingatan atau buat-buat lupa ingatan? Tidak menjadi masalah, saya boleh ingatkan kembali.


Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan sokongan parti itu terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ditamatkan serta merta. Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan tujuh kegagalan kerajaan yang digariskan sebagai syarat utama sokongan Umno terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin. Antaranya yang paling menarik adalah kegagalan Muhyidin dan kerajaan pimpinannya menangani pandemik Covid-19 secara berkesan sehingga mencetuskan keresahan dan kemurungan serius rakyat.


Najib Razak pula menyifatkan kerajaan PN gagal menguruskan Covid-19 dengan baik sehingga #KerajaanGagal menjadi perkataan yang popular di kalangan rakyat. Baginya, darurat tidak diperlukan sebab PKP 1.0 tiada darurat boleh berjaya dan tiada sebab PKP 2.0 tidak boleh berjaya tanpa darurat jika dibuat dengan betul.


Sebenarnya, mereka berdua ini lebih kepada ingin mengelirukan rakyat. Adalah sangat mustahil seorang yang terpelajar seperti bosskur mempunyai tahap IQ sebegini. Lainlah Zahid Hamidi, itu kita boleh terima tetapi ini bosskur, gah di media sosial dengan pengikutnya yang diperakui ramai cuma tidak tahulah ianya benar-benar penyokong tulen atau hanya sekadar BOT yang dicipta menggunakan algoritma Bahasa pengaturcara.


Mungkin istilah-istilah seperti mutasi, strain dan varian sedikit sebanyak memberikan kekeliruan kepada mereka berdua untuk memahami apa sebenarnya yang berlaku dan kenapa seperti sukar untuk membendung peningkatan kes Covid-19 ini. Mutasi boleh didefinisikan sebagai perubahan struktur permukaan bagi sesuatu virus yang berlaku dari semasa ke semasa. Strain pula terhasil apabila virus secara semulajadi mengalami perubahan pada permukaan dan struktur genetik, jelas beliau. Dengan kata lain, ia boleh digambarkan apabila sesuatu itu berubah berlainan daripada bentuk asal atau kelaziman. Bila varian ini berubah dari bentuk asal, sudah semestinya strain juga tidak sama. Strain ini lebih mudah difahami jika kita takrifkan sebagai ciri-ciri tertentu yang ada pada virus yang terdapat pada setiap varian.


Perbezaan-perbezaan inilah yang berpunca daripada mutasi dan persekitaran setempat menjadikan ia sukar untuk dibendung dan dikawal dengan pendekatan yang sama. Buatlah Total Lock Down seperti PKP1.0 sekalipun, ia tetap sukar untuk dibendung. Malah tiada negara di dalam dunia hari ini menggunakan pendekatan seperti ini lagi. Kebanyakannya masih membuka sektor ekonomi. Jadinya, apa bezanya kita dengan mereka? Tidak ada beza apapun. Cuma di sini ada Kluster Mahkamah yang cuba memporak-perandakan peranan Kerajaan dengan memberikan gambaran yang tidak tetap terhadap semua usaha Kerajaan membantu rakyat. Yang di sini jugalah kelihatan terlebih arif dengan cuba menjadi populis kepada rakyat, bersetuju secara semberono dengan segala luahan dan kehendak rakyat sedangkan yang di sana, bersatu padu dan saling bantu-membantu tidak kiralah pihak kerajaan atau pun pembangkang di dalam mendepani pandemik Covid-19 ini. Tetapi benarkah kerajaan Muhyidin gagal?


Pada saya, apa yang dilaksanakan Muhyidin telah pun menampakkan hasil. Hari ini, walaupun kes dicatatkan yang tertinggi tetapi daripada jumlah 22,642 kes baru hari ini,hanya 2.7 peratus berada dalam kategori 5, 4 dan 3 yang dianggap kritikal.


Berikut pecahannya:

Kategori 5 (kritikal, gunakan ventilator): 345 kes, 1.4% (89.6% tiada/tidak lengkap vaksinasi)

Kategori 4 (perlu bantuan oksigen): 118 kes, 0.5% (83.1% tiada/tidak lengkap vaksinasi)

Kategori 3 (radang paru-paru): 197 kes, 0.8% (81.2% tiada/tidak lengkap vaksinasi)

Kategori 2 (gejala ringan): 12,550 kes, 51% (79.7% tiada/tidak lengkap vaksinasi)

Kategori 1 (tiada gejala): 11,389 kes, 46.3% (80.7% tiada/tidak lengkap vaksinasi)


Ini bermakna, kapasiti di wad ICU yang memerlukan ventilator dan tabung oksigen berkurangan dengan begitu drastik dan ini semestinya memberikan kelebihan dari segi kordinasi dan keperluan logistik terhadap mereka yang kritikal dan sudah pasti petugas-petugas kesihatan sudah mula menarik nafas lega walaupun sudah sekian lama bertungkus-lumus merawat pesakit seperti sebelumnya tanpa kenal erti lelah dan jemu.


Jadi, dimana salahnya Muhyidin dan Kerajaannya? Yang jelas, sekiranya Kerajaan ketika itu gagal, maka UMNO turut sama gagal kerana merupakan sebahagian daripada gabungan Kerajaan tersebut.


Peningkatan angka positif ini bukan hanya berlaku di Malaysia sahaja malah boleh dilihat di negara-negara luar juga dan paling ketara ialah di India. Ia bukan soal gagal atau berjaya negara, tetapi kerajaan Muhyidin telah berusaha sehabis baik dengan penguatkuasaan SOP ditambah lagi suntikan dana dari satu pakej ke satu pakej sejak PKP 1.0 tempoh hari bagi tujuan meringankan beban kewangan rakyat yang terjejas. Mengapi-apikan polemik dengan naratif jahat sebegini tidak akan memberikan keuntungan apa-apa kepada negara dan rakyat pun. Lagi penting jika kita melihat daripada sudut kita sebagai hamba kepada Yang Maha Esa. Pertikaian mengenai peningkatan angka positif sedangkan penguatkuasaan PKP, PKPD, PKPB dan PKPP sedang berlangsung adalah persepsi yang tidak wajar bagi kita sebagai hamba, seolah-olah kita lupa akan segala yang berlaku terkait dengan ketentuan dari Allah sebagai ujian dari-NYA. Kita hanya boleh merancang, usaha dan ikhtiar, selebihnya kita berserah pada ketentuan Allah.


Pada saya, pihak yang membuat dakwaan tersebut juga secara jelas menunjukkan nafsu politik angkuh yang terlalu tinggi dan rakus mahu berkuasa. Mereka masih ingin mengaku boleh menyelesaikan semua masalah dalam sekelip mata sahaja sehingga sanggup merempuh keadaan paling mencabar yang masih dihadapi oleh mereka yang berada di barisan hadapan ibarat orang buta memarahi si celik yang menolongnya menyeberangi jalan. Sekurang-kurangnya, pertimbangkanlah pengorbanan yang dilakukan dalam memerangi wabak ini.


Kepada mereka yang secara tiba-tiba diam membisu dan tidak lagi menjuarai isu kerajaan gagal, bukalah hati dan minda serta renunglah dalam-dalam, ingati kembali tujuan anda menceburi arena politik tanah air, bukan kuasa, bukan harta tetapi letakkan semula kepentingan rakyat di atas segala yang lain. In sha Allah, pasti diberkati Allah.



--PN Online

bottom of page