top of page
  • newsatmy

Tiada masalah untuk Parlimen bersidang

15 April 2021

LUMPUR: Sidang Parlimen wajar diadakan tanpa perlu menunggu tempoh proklamasi darurat berakhir 1 Ogos nanti.


Bekas pensyarah sains politik dan undang-undang, Datuk Dr Abdul Halim Sidek, berkata tiada masalah bagi persidangan untuk diadakan segera dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP), lebih-lebih lagi semakin ramai Ahli Parlimen sudah mendapat suntikan vaksin dos kedua.


"Namun jawapan untuk hendak atau tidak dibuat terserah kepada kerajaan yang memerintah iaitu Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan barisan Kabinetnya," katanya ketika dihubungi hari ini.


Beliau berkata demikian bagi mengulas desakan pihak tertentu yang mahu supaya sidang Parlimen diadakan tanpa menunggu sehingga proklamasi darurat tamat.


Mengulas lanjut Abdul Halim berkata, kebimbangan kepada risiko jangkitan COVID-19 juga tidak lagi boleh dijadikan sebab menangguh sidang Parlimen.


"Kalau rasionalnya nak kata risiko COVID-19, perkara itu bukan masalah kerana ramai dah dapat suntikan. Dewan pun sentiasa disanitasi. Tempat duduk Ahli Parlimen pun ada penghadang.


"Banyak duit dibelanjakan untuk melindungi Ahli Parlimen supaya sihat dan tidak terdedah kepada COVID-19. Ahli Parlimen pun 222 orang. Bilangannya lebih kecil daripada orang yang pergi ke kompleks beli belah.


"Sebab itu hujah yang mengatakan Parlimen tempat tertutup dan sebagainya tidak boleh diguna lagi," katanya.


Beliau berkata, lebih cepat sidang Parlimen diadakan, lebih banyak usul dan isu yang boleh dibincang dan dibahaskan bagi kebaikan semua.


"Contohnya isu denda RM10,000 kerana melanggar SOP. Menteri kata itu denda maksimum. Kalau kesalahan kali pertama, mungkin RM100 atau RM1,000.


"Tapi sebab tidak ada satu undang-undang yang jelas. Jadi pelaksanaan pun jadi tidak jelas. Polis hendak selamat, dia letak RM10,000. Itu yang menjadi kemarahan orang ramai.


"Jadi ini sebabnya bila buat undang-undang dengan tergesa-gesa. Memang betul kita boleh buat apa-apa undang-undang semasa darurat tetapi buatlah dengan baik dan teratur.


"Sebab itu perlu berhati-hati, kita boleh buat (undang-undang) tapi apa implikasinya kepada rakyat dan cara pelaksanaannya perlu diperhalusi perinciannya. Jangan main buat sahaja," katanya.


Sebelum ini Jemaah Menteri bersetuju sidang Parlimen ditangguhkan hingga 1 Ogos depan bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha melawan COVID-19.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata keputusan penangguhan itu dibuat berdasarkan alasan perundangan serta analisis data dan sains mengenai kekhuatiran penularan di dalam bangunan Parlimen.


Pada 12 Januari lalu, Istana Negara dalam kenyataan menyebut Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal, jika kes positif COVID-19 dapat dikawal.


-Berita Harian

bottom of page