• Arissa

‘Tiada Pun ADUN BERSATU Johor Nak Sertai UMNO’

17 Julai 2021

JOHOR BAHRU: BERSATU Johor menafikan dakwaan dibuat Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang mendakwa beberapa wakil rakyat BERSATU di negeri ini akan bertindak keluar parti dan menyertai UMNO.


Setiausaha BERSATU Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal yang menafikan dakwaan itu berkata, kenyataan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu tidak berasas sama sekali.


Jelas beliau, pihaknya sudah berjumpa beberapa wakil rakyat BERSATU Johor dan mereka kekal setia dengan perjuangan BERSATU.


“Tiada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli Parlimen BERSATU Johor yang menyatakan hasrat untuk sertai UMNO. Mereka semuanya setia dengan BERSATU.


“Kita pun kenal siapa Mohd. Puad, beliau boleh cakap apa sahaja tetapi kita dengar sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.


Mohd. Puad baru-baru ini menyatakan beberapa ADUN BERSATU Johor sedang menunggu masa sesuai meninggalkan parti itu untuk menyertai UMNO dan perkara tersebut bukan lagi rahsia.


Beliau turut mencabar empat ADUN BERSATU Johor yang sebelum ini mengancam menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor untuk berbuat demikian bagi membuktikan mereka benar-benar berani dan bukan sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’.


Sementara itu, Sahrudin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU berkata, semua pihak sepatutnya menumpukan perhatian dalam usaha membantu rakyat yang tersepit dengan COVID-19 seperti disarankan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini.


“BERSATU Johor menjunjung tinggi saranan Tunku Ismail dan semua pemimpin politik perlu mematuhinya dalam usaha membantu dan memperkasa agenda untuk rakyat,” katanya.


Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin pula berkata, saranan Tunku Ismail perlu diambil serius khususnya dalam keadaan kes COVID-19 ketika ini mencatatkan peningkatan yang tinggi.


“PAS Johor merafak sembah dan menjunjung tinggi titah Tunku Ismail, semua ahli politik perlu fokus dengan usaha membendung pandemik COVID-19 dan sekarang bukan masa untuk bermain politik.


“Ini waktu terbaik berkhidmat kepada rakyat dan apabila kita dapat fokus kepada masalah COVID-19 ini, kita akan dapat beri manfaat kepada semua pihak,” jelasnya.



--PN Online