top of page
  • zaman

Tiada sesiapa pun, termasuk istana atau parti politik memonopoli perkara berkaitan islam-Hasan Karim

16 Mac

TINDAKAN Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang meneruskan ceramah di masjid yang dilihat bertentangan dengan institusi diraja, mendapat sokongan daripada ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.


Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berpandangan, adalah demokratik untuk orang Islam mendengar ajaran Islam yang disampaikan di luar kalangan imam atau penceramah rasmi.

“Sekurang-kurangnya ada orang yang berani mencabar,” kata beliau dalam forum politik anjuran Gerak Budaya dan dikendalikan pengarahnya, Chong Tong Sin.


Hadi sebelum ini tetap meneruskan rutinnya menyampaikan kuliah di Masjid Rusila di Marang, Terengganu, walaupun setelah larangan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu.


Ahli Parlimen Marang itu sebelum itu berkata, tiada salahnya untuk ahli politik menyampaikan kuliah di masjid atau surau dan malah menegaskan mereka mempunyai kewajipan untuk bersuara dalam pelbagai perkara termasuk politik.


Mengulas lanjut, Hassan berkata, perkara itu boleh dilakukan dengan syarat pihak yang memberi kuliah itu tidak menggunakan masjid untuk propaganda politiknya.


Beliau berkata tiada sesiapa pun, termasuk istana atau mana-mana parti politik yang boleh memonopoli perkara berkaitan Islam.


Katanya, semua pihak perlu menerima bahawa wujudnya sistem feudal di Malaysia, tapi pada masa sama institusi diraja tidak boleh dibenarkan ‘mengawal semuanya’.


Larangan terhadap semua ahli politik, termasuk ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan senator, daripada menyampaikan kuliah atau khutbah di semua masjid dan surau di seluruh Terengganu berkuat kuasa pada 2 Mac lalu.


Larangan itu dikeluarkan selepas Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dukacita apabila ada ahli politik mengajar agama atau menjadi khatib dan imam solat tanpa kebenaran pihak berkuasa.


Pengecualian diberikan kepada pemegang tauliah mengajar atau dengan kebenaran daripada Maidam.


Menurut semakan di data.gov.my, setakat 4 Mac lalu, Hadi tidak berdaftar sebagai penceramah bertauliah di Terengganu.


Sebelum ini, Hadi meramalkan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tumbang tidak lama lagi.


Ketika ditanya jika usaha Perikatan Nasional (PN) untuk merampas kerajaan mencabar titah Yang di-Pertuan Agong berhubung kestabilan politik, Hadi berkata, dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, titah tersebut bukan penghalang kepada perubahan kerajaan.

Comments


bottom of page