top of page
Writer's pictureArissa Azman

‘Tidak masalah siapa pun calon Ketua Menteri’ – Wan Saiful

18 NOVEMBER 2021

AYER KEROH: Perikatan Nasional (PN) tidak menolak kemungkinan calon PN Telok Mas, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen memegang jawatan Ketua Menteri sekiranya parti itu menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.


Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sekiranya Mohd Rafiq dicalonkan untuk jawatan itu, Pengerusi PN Melaka itu adalah calon Ketua Menteri Melaka termuda dalam sejarah memegang jawatan berkenaan.


Difahamkan, nama yang turut disebut untuk menjadi ketua menteri adalah calon PN Tanjung Bidara, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin selain Mohd Rafiq.


Tambahnya, parti itu bagaimanapun tidak mempunyai masalah sekiranya benar dakwaan mengaitkan nama Mohd Rafiq sebagai calon jawatan itu.


“Bagi saya kita tiada masalah sesiapa pun jadi Ketua Menteri. Cuma di peringkat PN kita dah buat keputusan bahawa calon KM ini adalah daripada Bersatu,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Pejabat Bersatu Hang Tuah Jaya, di sini hari ini.


Mengulas lanjut, beliau menaruh keyakinan PN mengemukakan calon yang baik untuk memegang jawatan berkenaan.


“Jadi saya yakin kita ada calon-calon yang baik, mana tahu kawan-kawan yang sebelah kita ini yang jadi Ketua Menteri.


“Sebab itu bagi saya ini budaya kita, lebih baik rileks je kita tak kisah siapa pun jadi Ketua Menteri. Tunggulah pengumuman nanti baru tahu,” katanya.

Comments


bottom of page