• newsatmy

Tidak mustahil jajaran baharu UMNO, DAP selepas PRU15 - KB Paya Besar

18 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Kehadiran bersama Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad dengan pemimpin DAP dalam satu majlis baru-baru ini memberi bayangan kemungkinan wujud pembentukan jajaran politik dua parti itu akan berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).


Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman mendakwa, kemungkinan itu boleh berlaku kerana UMNO tidak mempunyai satu kekuatan sebagai parti dominan selepas PRU15 untuk membentuk kerajaan.


"UMNO akan banyak bergantung kepada pelbagai rundingan dengan parti-parti politik selepas pilihan raya.


"Jadi, kemungkinan berlakunya jajaran baharu ini boleh berlaku. Persoalannya adakah tidak wajar sekiranya ia berlaku? Ramai kata sekarang ia tak wajar.


"Bagaimanapun, kejatuhan Barisan Nasional (BN) dahulu kerana jajaran baharu juga antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan PKR dan DAP. Kalau itu sebagai sesuatu yang tidak betul, kenapa pula dulu boleh diterima oleh Bersatu?" katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.


Noraini sebelum ini memaklumkan, kehadiran Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming semasa lawatannya bersama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Hussaini Omar di kediaman pelajar PhD di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Azura Omar, yang sedang berjuang melawan penyakit kanser di Sungai Merab, Bangi, adalah secara kebetulan dan tidak melibatkan sebarang arahan daripada pimpinan UMNO.


Katanya, beliau berjumpa dengan Ong ketika sedang melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


Bagaimanapun, Ong di dalam sebuah portal dilaporkan menjelaskan, program ziarah itu dibuat secara terancang selepas pemimpin DAP itu memberi maklumat mengenai mahasiswa tersebut yang menghidapi kanser tahap empat.


Dalam pada itu ujar Ahmad Tajuddin, jajaran politik baharu UMNO bersama parti DAP dan PKR tidak mustahil boleh berlaku memandangkan Pas dahulu pernah bersama kedua-dua parti itu di bawah Pakatan Rakyat (PR).


Kata beliau, ahli-ahli UMNO khusunya perlu menerima kemungkinan situasi itu jika norma baharu politik tersebut benar-benar berlaku.


Namun soalnya, timbul persoalan adakah ketiga-tiga parti boleh duduk semeja dan menyesuaikan ideologi masing-masing di bawah satu bumbung.


"Persoalan sekarang ini ialah kesesuaian dari segi ideologi sama ada DAP, PKR dan UMNO boleh duduk semeja bergantung kepada kesesuaian ideologi.


"Tetapi kalau tengok kepada yang ada hari ini, memang kesesuaian itu tidak ada dan ia sekali lagi bergantung kepada jajaran untuk disatukan berdasarkan kesesuaian dari segi ideologi. Kalau bertegas dengan masing-masing ideologi yang ada sekarang tak mungkin boleh berlaku," katanya.


Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini membayangkan pembentukan jajaran baharu politik bersama PKR dan DAP yang dikenali sebagai Perikatan 3.0 dan bukannya Perikatan Nasional (PN) semasa PRU15 nanti.


Pendedahan terbuka Ahmad Zahid itu secara tidak langsung mengukuhkan lagi khabar angin sebelum ini dengan menyifatkan langkah tersebut diambil sesuai dengan dinamik politik yang sedang berlaku mengikut perubahan dan keadaan politik semasa negara.


Katanya lagi, jajaran baharu itu tidak melibatkan PN yang ada sekarang bagaimanapun beliau tidak mendedahkan parti yang akan bersama dalam gabungan baharu itu.


-Astro Awani