• Arissa

Tiga pemimpin pembangkang selesai menghadap Agong

10 Jun 2021

KUALA LUMPUR: Tiga wakil pemimpin parti politik daripada pembangkang selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Rabu.


Mereka masing-masing adalah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; serta Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.


Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menjadi pemimpin pembangkang pertama yang tiba di Istana Negara sekitar pukul 10.37 pagi.


Sementara itu, Guan Eng pula dilihat memasuki Istana Negara sekitar pukul 1.57 tengah hari.

Ia kemudian diikuti Mohamad pada pukul 3 petang.


Sesi sembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong itu masing-masing dianggarkan berlangsung selama sejam.


Antara isu yang dipercayai dibangkitkan oleh wakil pembangkang adalah mengenai penamatan Proklamasi Darurat, pembukaan semula Parlimen, vaksinasi serta berkaitan COVID-19.


Beberapa siri pertemuan ketua politik dijadual berlangsung mulai hari ini sehingga Jumaat.


Parti yang masih dalam proses pendaftaran, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diwakili oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Khamis.



-Astro Awani