top of page
zaman

Top Glove perlu contohi Bernas


KUALA LUMPUR 1 Mac: Syarikat pengeluar sarung tangan getah negara, Top Glove disaran mencontohi Bernas yang bersedia menyumbang 30 peratus keuntungan kepada pesawah.

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata, tindakan Bernas wajar dicontohi Top Glove dengan turut menyumbang kepada penoreh getah yang berdepan masalah kos dan kadar harga getah tidak stabil.

“Alangkah baiknya jika Top Glove yang mengaut keuntungan jutaan ringgit membekalkan sarung tangan kepada dunia semasa Covid-19, turut menyumbang kepada penoreh getah,” katanya semasa membahaskan usul Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.


Menurut Timbalan Presiden PAS itu, tindakan kerajaan menaikkan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sebanyak 20 sen tidak banyak membantu kerana pada masa sama, penoreh getah berdepan masalah penyakit yang melanda hampir seluruh negara.


Katanya, begitu juga dengan masalah pekebun pisang sebelum ini yang sehingga kini tiada cara penyelesaian untuk mengatasi masalah penyakit tanaman itu.

“Hari ini, penanam getah mengalami masalah sama, getah meluruh tiga kali setahun dan menyebabkan getah tidak keluar hasil susu, sekali gus penoreh getah berdepan masalah serius.

“Justeru itu, saya mohon penjelasan mengenai keluasan getah yang dijangkiti penyakit ini, dan mekanisme yang kerajaan lakukan untuk mengatasi masalah tersebut,” katanya.

Semalam, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bersetuju memperhalusi cadangan untuk menaikkan harga lantai getah sekerap kepada RM3 sekilogram berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan.


Bagaimanapun, kerajaan akan melaksanakan dahulu IPG daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan berjumlah RM350 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2023

Comments


bottom of page