top of page
  • newsatmy

Tragedi rusuhan bola sepak ragut 32 nyawa kanak-kanak perolehi pampasan RM15,177


MALANG, Indonesia,4 Okt: Keluarga 32 kanak-kanak yang maut dalam tragedi perlawanan bola sepak di Indonesia masing-masing akan diberikan pampasan sebanyak 50 juta (RM15,177) oleh kerajaan negara itu.


Seorang menteri kanan berkata bahawa Indonesia akan memberi pampasan 50 juta rupiah (RM15,177) kepada setiap keluarga mangsa tragedi berkenaan termasuk 32 kanak-kanak terbabit, sambil menambah bahawa pejabat Presiden Joko Widodo merancang untuk memberi dana itu dalam tempoh satu hingga dua hari ini, lapor Mediacorp.


Sementara Nahar yang merupakan seorang pegawai di kementerian pemerkasaan wanita dan perlindungan kanak-kanak, mengesahkan agensi berita Reuters pada Isnin (3 Okt) bahawa sekurang-kurangnya 32 daripada mangsa yang terkorban dalam insiden tersebut adalah kanak-kanak berumur antara tiga dan 17 tahun.


Menurut laporan SBS News pula, Indonesia telah menubuhkan pasukan bebas untuk menyiasat kejadian rempuhan di stadium bola sepak yang mengorbankan 125 mangsa termasuk 32 kanak-kanak berkenaan, ketika suruhanjaya hak asasi manusia negara itu mempersoalkan penggunaan gas pemedih mata oleh polis.


Penonton yang panik merempuh ketika mereka cuba melarikan diri dari stadium yang terlalu sesak di Malang, Jawa Timur, pada hari Sabtu (1 Okt) selepas polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penyokong pasukan tuan rumah yang kalah yang berlari ke padang pada penghujung Perlawanan BRI Liga 1 dalam liga domestik.


“Saya sekeluarga tidak menyangka akan jadi begini. Mereka suka bola sepak, tetapi tidak pernah menonton Arema FC secara langsung di stadium Kanjuruhan, ini kali pertama buat mereka ” kata Endah Wahyuni, kakak kepada dua remaja Ahmad Cahyo, 15, dan Muhammad Farel, 14, yang terkorban dalam kejadian itu.


Sementara badan induk bola sepak dunia, FIFA dalam kenyataannya berkata bahawa dalam peraturan keselamatannya, senjata api atau ‘gas kawalan orang ramai’ tidak boleh digunakan pada perlawanan bola sepak.


“Jika tiada gas pemedih mata mungkin tidak akan berlaku huru-hara ini,” kata seorang pesuruhjaya di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Indonesia, Choirul Anam dalam satu taklimat.

Sementara itu, CNA melaporkan insiden Sabtu lalu berlaku apabila peminat pasukan tuan rumah Arema FC menyerbu padang di stadium Kanjuruhan selepas tewas 3-2 kepada musuh ketat, Persebaya Surabaya.


Rentetan itu, pihak polis bertindak balas dengan melancarkan gas pemedih mata di tempat duduk yang penuh sesak dengan penonton, menyebabkan mereka bergegas beramai-ramai ke pintu pagar kecil menyebabkan ramai yang terpijak atau sesak nafas.


“Rasanya seperti orang ramai dimasukkan ke dalam tiub kecil dan kemudian ditarik masuk ke dalam lubang kecil,” ujar salah seorang penonton, Ahmad Rizal Habibi, 29, yang terselamat dalam kejadian itu.


Polis menyifatkan kejadian itu sebagai satu rusuhan dan berkata dua pegawainya turut terbunuh, tetapi mangsa yang terselamat menuduh polis bertindak keterlaluan dan menyebabkan kematian ramai penonton.


“Salah satu mesej kami adalah supaya pihak berkuasa menyiasat perkara ini secara menyeluruh. Kami mahukan keadilan. Siapa yang harus dipersalahkan sebenarnya?” kata warga Malang berusia 25 tahun, Andika, yang enggan memberikan nama keluarganya.


Seorang saksi di luar stadium pula mendakwa pihak polis enggan membantu penonton apabila keadaan huru-hara itu mula tercetus.


“Tempat itu kelihatan seperti tanah perkuburan besar-besaran. Wanita dan kanak-kanak bertimbun di atas satu sama lain,” kata Eko Prianto, 39, kepada AFP.


Dalam ucapan langsung yang penuh sebak, Presiden Arema FC Gilang Widya Pramana sehubungan itu memohon maaf atas tragedi tersebut.


“Saya selaku presiden Arema FC akan bertanggungjawab sepenuhnya atas insiden yang berlaku,” katanya.


Skuad Arema melawat lokasi mangsa pada Isnin dengan memakai baju hitam untuk memberi penghormatan dan meletakkan bunga sebelum berkumpul di padang untuk mendoakan mangsa.


Graffiti yang disapu pada dinding stadium mendedahkan kemarahan yang menggelegak orang ramai terhadap pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut.


“Adik- beradik saya telah dibunuh. Siasat dengan teliti,” membaca satu mesej yang tertera pada bidai stadium, disertai dengan reben hitam dan tarikh bencana.

bottom of page