top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Transformasi Politik: Beri peluang golongan 18 tahun jadi Senator - Gerakan

19 September 2021

KUALA LUMPUR: Golongan muda berusia 18 tahun perlu diberi peluang untuk menjadi Ahli Dewan Negara, selari dengan kelulusan yang diberikan kepada golongan yang sama untuk mengundi dan menjadi Ahli Dewan Rakyat.


Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Datuk Dominic Lau Hoe Chai berkata, sewajarnya perubahan itu dilakukan bagi memberikan lebih peluang kepada golongan muda untuk sama-sama memperjuangkan semangat demokrasi di negara ini.


Beliau berkata, bagi membolehkan perkara itu dilakukan, pindaan harus dilakukan kepada Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan, iaitu menurunkan had umur minima Ahli Dewan Negara daripada 30 tahun kepada 18 tahun.


“Perkara 47 mengatakan warganegara Malaysia yang bermastautin di Persekutuan, layak menjadi Ahli Dewan Negara, jika berumur tidak kurang 30 tahun.


We request to change this – kerana Dewan Rakyat boleh tukar kepada 18 tahun, mengapa Dewan Negara…pelantikan Senator tidak boleh diubah kepada 18 tahun ke atas,” katanya melalui satu sidang media maya di sini, hari ini.


Dominic berkata, perkara itu merupakan antara yang akan diperjuangkan Gerakan, hasil keputusan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat parti, hari ini.


Pada 14 September lepas, Sebanyak enam transformasi telah dipersetujui antara kerajaan dan pembangkang melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang telah diterbitkan kepada umum di laman web Parlimen.


Di bawah tajuk Transformasi Pentadbiran, kedua-dua pihak bersetuju agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mempercepatkan lagi tindakan untuk pendaftaran umur minima pengundi 18 tahun dan pendaftaran secara automatik.

bottom of page