top of page
  • newsatmy

Tuah single Perit diterima ramai.

14 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Tuah single Perit bukan sahaja diterima ramai, tetapi boleh didengari dalam empat drama apabila digunakan sebagai lagu runut bunyi.


Selain drama Perempuan Tanpa Dosa, lagu Perit boleh didengari menerusi drama Angkara Cinta, Bougainvillea dan Rahimah Tanpa Rahim.


Penyanyi dan komposer baharu, Aliff Iskandar, 21, bersyukur single Perit mendapat sambutan selepas dipilih sebagai lagu runut bunyi untuk empat drama yang menampilkan kisah putus cinta, dicurangi dan berhadapan dengan apa sahaja masalah dalam perhubungan.


"Terima kasih memberikan sokongan kepada single Perit. Saya tak sangka, single Perit diterima baik sejak dilancarkan tiga bulan lalu. Peminat semakin mengenali lagu ini.


"Apabila lirik lagu dekat dengan pendengar, mereka mudah menerimanya. Ada yang pernah berhadapan dengan situasi sama, tidak kurang juga meninggalkan pelbagai komen pengalaman mereka dalam muzik video berkenaan.


"Saya baca setiap komen yang dititipkan. Macam-macam kisah dan pengalaman dikongsikan. Mana yang tragis, saya sangat bersimpati," katanya kepada BH Online.


Aliff berkata, dia sangat menghargai apabila karyanya itu diterima baik penerbit drama, sekali gus percaya kepada bakatnya dalam penciptaan lagu.


Selain itu, katanya, dia sudah menghasilkan beberapa lagu lain dan turut mendapat perhatian penerbit yang berhasrat menggunakan karyanya untuk lagu runut bunyi.


Tuah single Perit, penyanyi dan komposer baharu, Aliff Iskandar bakal bekerjasama dengan beberapa penyanyi popular. - Foto IG Aliff Iskandar


Katanya, semuanya berlaku apabila mula menyanyikan lagu baharu ketika bersiaran secara langsung menerusi laman sosial Instagram (IG).


"Ada beberapa pihak sudah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan saya termasuklah menghasilkan lagu runut bunyi dan sebagainya. Sudah pasti saya amat menghargainya sebagai pencipta baharu.


"Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan apabila ada yang percaya kepada hasil karya saya. Semoga apa yang dirancang akan tertunai sedikit masa lagi," kata bakal guru yang kini sedang menuntut di Institut Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur.


Lebih menarik, katanya, bukan sahaja syarikat produksi menyatakan hasrat untuk bekerjasama, tetapi beberapa artis popular turut menyatakan minat mendapatkan karya baharunya.


"Setakat ini, semuanya masih dalam perancangan. Andai kata semuanya berjalan lancar seperti dirancang, saya akan kongsikan nanti," kata penyanyi yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu.


-Berita Harian

bottom of page