top of page
  • newsatmy

Tuah, Tajul makin rapat selepas bergaduh

16 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer muda, Tuah Adzmi, 23, mengakui kini hubungannya bersama penyanyi, Tajul Ariff, dalam keadaan baik dan sudah melupakan episod pergaduhan yang berlaku penghujung tahun lalu.


Tuah atau nama sebenar, Arumi Nafis Mohd Adzmi berkata, pergaduhan berlaku ketika merakamkan lagu baharu Tajul berjudul Izinkan Aku yang juga ciptaannya itu tidak menjejaskan hubungan baik mereka.


"Alhamdulillah, semuanya baik-baik sahaja sekarang ini. Malah, kami semakin rapat selepas tercetusnya episod pergaduhan ini. Sebenarnya, apabila bergaduh, kami makin mengenali diri masing-masing.


"Saya tidak menolak memang kami ada masalah di studio ketika rakaman lagu Izinkan Aku. Tetapi, apa yang boleh dikatakan, ia hanyalah pergaduhan manja antara kawan-kawan. Saya tengah bekerja, Tajul pula penat ketika itu.


"Mungkin ketika rakaman, Tajul ada masalah. Saya faham Tajul ada anak kecil untuk diuruskan, jadi mungkin kepenatan dan tertinggi suara sedikit, tetapi kami selesaikan dengan cara baik," katanya kepada BH Online.


Justeru, Tuah berkata, dia tetap terbuka untuk bekerjasama dengan Tajul dan tidak pernah muncul perkataan serik selepas apa yang berlaku.


Malah, selepas lagu Izinkan Aku, artis naungan FMC Music itu bersyukur lagu-lagu ciptaannya mula mendapat perhatian daripada penerbit.


"Buat masa ini, karya ciptaan saya mendapat sambutan, ada penerbit dan penyanyi mula datang meminta lagu. Insya-Allah selepas Tajul, ada lagi penyanyi lain yang menyanyikan lagu ciptaan saya," katanya.


Bagaimanapun, Tuah mengakui agak terkesan apabila lagu nyanyiannya kurang mendapat sambutan ekoran impak pandemik COVID-19.


"Single Insan Kau Cinta baru sahaja mahu dikenali, kemudian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Jadi promosi terhenti begitu sahaja.


"Saya ada mengeluarkan single kedua berjudul Kecewa, tetapi promosi juga sendu berikutan tidak dibenarkan merentas negeri. Jadi, agak terhad untuk kerja promosi.


"Disebabkan itu, saya kini terbuka mencuba apa-apa sahaja cabang seni sebab saya percaya rezeki tidak datang dengan satu sudut. Bagi saya, apa yang ada di depan mata, saya tidak akan menolak," katanya.


Ekoran itu, Tuah berkata, dia kini sedang berjinak dalam bidang perniagaan makanan pada Ramadan lalu.


"Saya akan keluar cenderahati seperti t-shirts dan sebagainya. Memang sekarang saya lebih fokus pada perniagaan sebab menyanyi agak susah.


"Kita tahu nak bergantung pada nyanyian pada musim pandemik ini agak susah. Andai kata ada penerbit nak ambil saya berlakon, saya akan terima dengan tangan terbuka," katanya.


Berkongsi sambutan Syawal, Tuah berkata, dia akur menyambut dalam norma baharu bersama ibunya memandangkan bapanya sudah lama meninggal dunia.


"Dua tahun ini sambutan raya agak berbeza. Saya hanya beraya berdua bersama ibu di Ampang. Jika tidak, kami akan pulang beraya di kampung di Kuala Kangsar, Perak.


"Ada saudara mara saya di Kuala Lumpur, tetapi kami tidak boleh nak berziarah dalam keadaan sekarang. Jadi, mahu atau tidak terpaksa akur dengan situasi norma baharu," katanya.


-Berita Harian

bottom of page