top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Tuchel kecewa dengan mutu pengadilan ketika Chelsea tewaskan Southampton

3 Oktober 2021

CHELSEA 3 SOUTHAMPTON 1


Thomas Tuchel berkata dia "tidak faham" dengan sebahagian keputusan pengadil selepas Chelsea menewaskan Southampton 3-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) malam tadi.


Pasukan juara Eropah itu berada di depan hasil jaringan liga pertama Trevoh Chalobah di Stamford Bridge, hanya menerusi percubaan keduanya dalam perlawanan itu.


James Ward-Prowse kemudian menjadi pemain keempat menjaringkan gol dan dilayangkan kad merah dalam satu perlawanan EPL buat skuad kendalian Ralph Hasenhuttl, Southampton, sebelum Chelsea mengesahkan kemenangan menerusi gol lewat permainan Timo Werner dan Ben Chilwell.


Bagaimanapun, ia mungkin akan menjadi perlawanan yang berbeza seandainya jaringan Werner dalam babak pertama tidak dibatalkan pengadil, yang mendakwa Cesar Azpilicueta melakukan kekasaran terhadap Kyle Walker-Peters, dan Tuchel meluahkan kekecewaannya selepas perlawanan itu.


"Semua orang memberitahu saya bahawa kita akan kembali ke cara bola sepak Inggeris, bukannya tiupan wisel ketika ada sentuhan ringan," kata Tuchel kepada Sky Sports tentang gol Werner yang dibatalkan itu.


"Kami berada di London, hari hujan, ia satu perlawanan yang intensif dan bukannya selepas situasi itu (jaringan berkenaan terhasil).


"Terdapat peluang dan satu lagi peluang, kemudian satu percubaan dan satu hantaran lintang dan kemudian kami menjaringkan gol daripada hantaran lintang kedua -- bagaimana insiden itu boleh mempengaruhi gol berkenaan?


"Dalam keadaan ini, saya langsung tidak faham bagaimana anda boleh membatalkan gol itu," katanya.


Chelsea merupakan pasukan yang merekodkan jaringan separuh masa pertama terbanyak dalam liga musim ini (tujuh) tetapi kali ini, mereka terpaksa mengharapkan dua gol lewat permainan untuk memastikan tiga mata.


Walaupun kecewa dengan video bantuan pengadil (VAR) dan mutu pengadilan, Tuchel gembira dengan prestasi Werner, yang menyinar di samping Romelu Lukaku di bahagian depan.


"Pada akhirnya, dia (Werner) berada di mana dia perlu berada.


"Apabila anda menerima bola daripada Ross (Barkley), hantaran lintang daripada Azpi (Azpilicueta), anda perlu berada di sana sebagai seorang penyerang," tambahnya.

Comentários


bottom of page