top of page
  • newsatmy

TV AlHijrah semarak Ramadan, Aidilfitri

20 April 2021

KUALA LUMPUR: Sepanjang Ramadan ini, stesen televisyen (TV) tempatan menyediakan pelbagai program istimewa, baharu mahupun lama, untuk tontonan penonton setia.


Tidak ketinggalan, stesen TV AlHijrah yang diketahui mengutamakan pengisian kerohanian, keinsafan, ilmu dan nilai ajaran Islam menerusi pelbagai program pilihan sepanjang Ramadan dan Syawal.


Mengangkat tema Andai Ini Ramadan Terakhir dan Andai Ini Syawal Terakhir, ia seiring dengan tema diketengahkan menjurus pada program berbentuk dakwah Islamiah dan sesuai ditonton semua lapisan masyarakat.


Pengerusi TV AlHijrah, Datuk Hussamuddin Yaacob berkata, tema berkenaan dipilih bagi mengajak penonton menghayati Ramadan dan Syawal sepanjang tempoh dua bulan ini.


"TV AlHijrah menyediakan pelbagai program menarik berpaksikan objektif mendidik jiwa penonton dengan program berteraskan agama dan kerohanian.


"Semua program menarik dipilih sudah disusun dan diteliti untuk menyemarakkan Ramadan dan Aidilfitri ini," katanya.


Hussamuddin berkata, kempen Andai Ini Ramadan Terakhir dan Andai Ini Syawal Terakhir disokong tiga inisiatif utama iaitu penerbitan dan penyiaran 24 rancangan baharu bergenre dokumentari, rancangan kanak-kanak, komedi, masakan, kerohanian dan filem.


Katanya, inisiatif kedua pula membabitkan platform digital TV AlHijrah dan ketiga, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu Skuad Bubur Lambuk TV AlHijrah.


"Saya berharap TV AlHijrah terus menjadi pilihan penonton sepanjang Ramadan dan Syawal.

"Semoga TV AlHijrah dipilih stesen pilihan nombor satu seisi keluarga dan menjadi ladang ilmu yang mampu dijadikan bekalan di akhirat," katanya.


Antara program menarik sempena Ramadan termasuklah Haflah, Omar & Hana, Camca Edisi Ramadan, Ihya Ramadan dan E-Kaunter Netizen.


Tidak hanya itu, AlHijrah turut menyajikan program Hijrah Berselawat, Aura Al-Qadar, drama Andai Ini Ramadan Terakhir, Sebuah Kehidupan, Ittabiouni, Al-Farabi dan My #HadithTime.


Sempena Syawal, program menarik seperti Camca Edisi Syawal, Tau Tau Dah Raya, Raya, Raya Juga, Bioskop Hijrah - Hafalan Shalat Delisa, Haflah Istimewa Syawal dan Bioskop Hijrah


Tidak ketinggalan telefilem berjudul Bebenang PKP Anis dibintangi Lisdawati dan Syafie Naswip, Bapa Posa Anak Raya, Gema Haflah Istimewa Syawal dan Dokumentari Sudirman Chow Kit Road.


-Berita Harian

bottom of page