top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

UFC 267: Berlangsung di Abu Dhabi, UFC ketengahkan petarung Muslim

28 OKTOBER 2021

SEBAGAI organisasi seni bela diri campuran (MMA) terbesar dunia, UFC mengikat kontrak pertarungan bersama dengan lebih daripada 600 petarung.


Dengan angka yang begitu besar, sudah pasti petarung UFC ini datang dari setiap pelosok dunia dan mempunyai latar belakang budaya dan agama yang berbeza-beza.


Mengambil kira acara UFC 267 yang akan dianjurkan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu, UFC mengambil peluang ini sebaiknya untuk mengetengahkan petarung-petarung mereka yang beragama Islam.


Setakat artikel ini ditulis, UFC 267 dijadualkan mempunyai sebanyak 15 pertarungan MMA dari pelbagai kelas berat yang melibatkan seramai 30 pertarung.


Dari jumlah tersebut, lapan petarung adalah petarung yang berlatar belakangkan agama Islam.


Mendahului para petarung Muslim pada acara kali ini tidak lain dan tidak bukan adalah Islam Makhachev (20-1) yang berasal dari Dagestan, Russia.


Nama Islam mulai meningkat naik selepas rakan baiknya Khabib Nurmagomedov yang merupakan bekas juara lightweight UFC mengumumkan persaraannya pada Oktober tahun lalu.


Selain menjadi rakan karib Khabib sejak kecil, Islam adalah anak didik jurulatih MMA tersohor Dagestan yang juga bapa kepada Khabib iaitu Allahyarham Abdulmanap Nurmagomedov.


Islam yang kini menduduki ranking kelima kelas lightweight bakal berhadapan Dan Hooker (21-10) yang berasal dari New Zealand yang mempunyai pengalaman cukup luas dalam MMA.


Selain Islam, seorang lagi rakan sepasukan Khabib juga bakal membuat kemunculan, iaitu Zubaira Tukhugov (19-5).


Zubaira yang berasal dari Chechnya bakal dicabar Ricardo Ramos (15-3) dalam kelas berat featherweight.


Ini merupakan kemunculan Zubaira yang pertama sejak setahun lalu selepas tewas di tangan Hakeem Dawodu menerusi keputusan berbelah bagi juri.


Seorang lagi petarung Muslim yang bertaraf bintang adalah Khamzat Chimaev (9-0). Nama Khamzat mula mendapat perhatian komuniti MMA apabila dia bertarung sebanyak dua kali dalam kelas berat yang berbeza (middleweight dan welterweight) dalam masa 10 hari sahaja.


Bukan hanya sekadar menang kedua-dua pertarungan, Chimaev menang menerusi kuncian dan TKO serta mempamerkan aksi yang begitu dominan.


Cabaran terbaru Chimaev pada kali ini bakal datang dari petarung China, Li Jingliang (18-6). Pertarungan Chimaev dan JingLiang akan diadakan dalam kelas welterweight.


Rata-rata peminat MMA menunggu aksi dari Khamzat kerana sebelum ini dia terpaksa berehat lebih setahun akibat kesan sampingan kesihatan selepas disahkan positif COVID-19.


Seorang lagi petarung beragama Islam kelahiran Dagestan yang ditunggu-tunggu adalah Magomed Ankalaev (15-1). Ankalaev mempunyai prospek yang besar di UFC kerana sering disebut-sebut sebagai bakal juara dalam kelas berat light heavyweight.


Ankalaev yang kini menduduki ranking ke tujuh bakal dicabar petarung yang berasal dari Switzerland, Volkan Oezdemir (17-5).


Walaupun Oezdemir pernah tewas sebanyak lima kali, Ankalev tidak boleh memandang rendah dengan kemampuan lawannya. Lebih-lebih lagi Oezdemir pernah bertarung dalam pertarungan kejuaraan pada tahun 2018.


Antara petarung Muslim lain yang bakal beraksi di pentas UFC 267 adalah seperti Albert Duraev, Shamil Gamzatov, Magomed Mustafaev dan Tagir Ulanbekov.


Anda boleh menyaksikan acara UFC 267 secara langsung dan esklusif di Astro SuperSport 5 (saluran 815) pada 30 October bermula 11:30 malam bagi pertarungan dalam 'premilinary card'.

Comments


bottom of page