top of page
  • admin

Umat Islam bawa pedang kayu pun tak boleh-Hadi Awang


AMPANG 23 Feb:Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang hairan apa yang ditakuti sangat masyarakat sehinggakan pemakaian kostum tentera Islam sambil membawa replika senjata, turut menjadi polemik, seolah-olah terikut dengan Islamofobia.


Malah, beliau menyifatkan pihak yang mengecam acara perarakan dalam program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2023 Jumaat lalu, cuba menggambarkan Islam itu sebagai agama yang menakutkan.

“Apa yang mereka takut sangat pada Islam ini. Seolah-seolah Islamofobia dengan pelbagai tuduhan, tohmahan, fitnah yang dilakukan.

“Orang Islam bawa pedang kayu pun takut, sedangkan musuh Islam guna senjata nuklear yang memusnahkan, yang diharamkan oleh Islam tak apa.


“Umat Islam bawa pedang kayu tak boleh,” katanya berucap pada Majlis Apresiasi dan Makan Malam Pra Satu Dekad Khidmat Malaysia di Ampang, Selangor, malam tadi.


Program anjuran Dewan Pemuda PAS negeri (DPPN) Terengganu, itu sebenarnya tidak membabitkan penggunaan senjata bahaya, sebaliknya peserta hanya menggunakan replika.

Ketua DPPN Terengganu, Mohd Harun Isa, berkata pemakaian ala perang oleh pasukan yang menyertai perarakan dengan membawa senjata dan perlindungan diri sama seperti pertandingan pakaian beragam dianjurkan di seluruh negara.


Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir Khairil Nizam Khirudin pula menegaskan himpunan HIMPIT adalah satu Manifestasi Semangat Sayang Kepada Perjuangan Para Sahabat dan cinta kepada Islam dengan pakaian yang menjelmakan watak pejuang Islam pada zaman sahabat Rasullullah SAW.

“Apakah cinta kepada Islam agama sejahtera itu sudah salah di zaman pemerintahan Malaysia Madani?,” soal Khairil yang juga Ahli Parlimen Jerantut.


Mengulas lanjut isu itu, Abdul Hadi berkata, malangnya ada pihak yang terpengaruh dengan naratif ketakutan, sedangkan kejayaan Islam bukan dengan senjata, tetapi adil, dan hikmah.

bottom of page