UMNO akan hilang kepercayaan pengundi teras
8 Mac
Kejatuhan parti pemerintah Indonesia tidak mustahil mungkin berlaku juga kepada UMNO, kata Datuk Mohd Yusof Ismail.
Bekas Ketua Bahagian Alor Setar itu berkata UMNO sudah ditolak semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan hilang kepercayaan pengundi teras dikalangan orang Melayu, oleh itu ahli-ahli UMNO perlu mengambil iktibar daripada pengalaman lalu dan membuat perubahan semasa pemilihan kali ini.
“Pada PRU-15, secara total UMNO ditolak orang Melayu, saya rasa UMNO cuma dapat undi daripada ahlinya sahaja. Saya harap perwakilan cari pemimpin yang boleh membantu UMNO mengembalikan kepercayaan rakyat.
“Sebab UMNO adalah parti teras parti yang banyak berjasa banyak kepada negara. Jangan jadi seperti GOLKAR apabila kalah, pemimpin tidak mahu berundur,” katanya dipetik laporan BH.
Mohd Yusof berkata, UMNO perlu mengembalikan keyakinan rakyat kepadanya melalui perubahan dalam parti itu atau berhadapan situasi tidak lagi diterima orang ramai.
“Kita lihat apa terjadi pada GOLKAR, pemimpin yang sama tetap mahu memimpin parti itu dan sehingga hari ini parti itu tidak boleh bangun.
“Jadi jangan jadikan UMNO seperti apa yang berlaku kepada GOLKAR, kembalikan keyakinan rakyat dengan kepimpinan UMNO yang baharu,” katanya.
Pada September tahun lalu, Mohd Yusof digantung keahlian UMNO selama enam tahun, namun pihak Lembaga Disiplin UMNO kemudian membuat keputusan menangguhkan hukuman itu sementara.
Bagaimanapun, dalam langkah pembersihan UMNO baru-baru ini, penggantungan itu kembali dikuat kuasa menyebabkan hukuman itu kembali berjalan ke atasnya.
Comments