top of page
  • newsatmy

UMNO belum tetap tarikh mesyuarat MKT

21 April 2021

KUALA LUMPUR: UMNO belum menetapkan tarikh untuk mengadakan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan.


Tegasnya, perkara itu akan dimaklumkan kemudian selain enggan mengesahkan sama ada mesyuarat akan diadakan Ahad ini seperti tular di portal berita.


"Saya Setiausaha Agung yang bertanggungjawab mengeluarkan surat memanggil mesyuarat. Saya sedang meneliti tarikh dan agenda yang akan dibincangkan dalam mesyuarat itu .


"Saya akui akan ada mesyuarat dalam Ramadan seperti yang dimaklumkan sebelum ini tetapi tarikh dan agenda tidak dapat dimaklumkan pada masa ini," katanya kepada BH, hari ini.


Ahmad ditanya mengenai laporan yang mendakwa mesyuarat MKT akan berlangsung Ahad ini.


Dalam satu portal berita yang memetik sumber parti melaporkan mesyuarat MKT itu diadakan dengan agenda utama membincangkan kedudukan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Ini berikutan tersebarnya rakaman audio yang dikatakan perbualan antara Ahmad Zahid dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pakatan sulit termasuk kedudukan Menteri dan Timbalan Menteri UMNO dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).


Ahmad berkata, jika ada mesyuarat MKT dalam waktu terdekat, agenda utama mesyuarat MKT adalah mengenai tarikh pemilihan parti.


Katanya, perkara itu adalah agenda yang lebih 'panas' yang perlu dibincangkan parti berbanding isu lain.


Beliau menjelaskan lebih 70,000 mesyuarat perlu diadakan di peringkat cawangan dalam proses pemilihan.


"Struktur organisasi UMNO ini berbeza dengan parti lain. Kita perlu adakan mesyuarat di 21,883 cawangan dan membabitkan empat mesyuarat setiap cawangan, Puteri, Pemuda dan Wanita serta cawangan itu sendiri.


"Selepas mesyuarat cawangan selesai, kita akan mesyuarat dan pemilihan di bahagian.


Kami mempunyai 191 bahagian dan perlu adakan empat mesyuarat iaitu tiga sayap parti dan bahagian itu sendiri, bermakna akan ada 764 mesyuarat dan pemilihan," katanya

Sebelum ini beberapa pihak mendesak UMNO mengadakan pemilihan parti lebih awal bagi menyelesaikan kemelut dalaman parti itu.


Antara yang lantang mendesak perkara itu ialah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang menggesa UMNO menyegerakan pemilihan parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) jika mahu menyelesaikan kemelut dalaman yang membelenggu parti sejak beberapa bulan lalu.


Awal bulan ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, pemilihan UMNO dijangka diadakan hujung tahun ini, namun tarikh sebenar pemilihan bergantung kepada PRU-15.


Mandat parti itu akan berakhir Jun ini dan mengikut amalan parti, mesyuarat cawangan perlu diselesaikan dalam tempoh sebulan hingga dua bulan, sebelum tempoh bertenang dalam sebulan kerana ada kemungkinan bantahan dan pindaan di peringkat cawangan sebelum mesyuarat bahagian boleh diadakan.


Selepas selesai mesyuarat bahagian baharulah diadakan pemilihan peringkat tertinggi parti.


-Berita Harian

bottom of page