top of page
  • admin

UMNO jangan sampai tersembam mencium tanah.


PADA PRU14 lalu BN hilang kuasa di Putrajaya dan hanya bertahan di Perlis dan Pahang. BN cuma menang 79 kerusi Parlimen, 54 dari Umno.


Presiden Umno ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak letak jawatan kerana memikul tanggungjawab atas kekalahan Umno. Kemudian berlaku peristiwa pendakwaan terpilih terhadap beliau dan pimpinan Umno lainnya termasuk terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengambil alih jawatan Presiden.


Kalah kemudian berlaku lompat melompat diikuti peletakan jawatan Presiden dan Pengerusi Perhubungan ditambah pimpinan yang menghadapi pendakwaan terpilih, Umno hampir lumpuh dikerjakan oleh PH bawah Tun Dr Mahathir.


Tetapi saki baki pimpinan yang tinggal terus cekal dan mahu meneruskan perjuangan. Umno tidak boleh dibiarkan lupus atas kehendak Mahathir dan tekanan PH yang didominasi DAP.


Antara pemimpin yang bangkit ke hadapan menyarung selempang pendekar terjun ke gelanggang demi memastikan Umno kekal relevan dan tidak kecundang adalah Dato Sri Ismail Sabri Yaakob, Naib Presiden Umno dah Ahli Parlimen Bera.


Dengan saki baki kerusi yang ada dan dengan kerjasama PAS beliau bangkit memikul amanah menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen. Bertarung secara berdepan dengan para kaduk yang baru naik junjung. Umno diserang pahit dalam Dewan oleh juak-juak PKR, DAP dan PAN, beliaulah yang berdiri mempertahan maruah dan panji-panji Umno.


Umno dilihat berperanan kembali. Kemudian beliau pula dilantik parti menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Selangor menggantikan Tan Sri Noh yang walau tak lompat tetapi melepaskan jawatannya kerana memikul tanggungjawab atas kekalahan Umno.


(Aneh dalam PRU15 Umno kecundang lebih teruk tinggal 26 kerusi cuma bernyawa melalui kerusi Parlimen di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Johor tetapi Presiden Umno langsung tak ambil pusing, diputuskan jawatannya tak ditandingi pula dalam PAU nanti)


Semasa beliau mengetuai Umno di Selangor berlaku 3 PRK melibatkan kerusi majoriti Melayu


Di Sg Kandis, Umno bertanding namun kalah. Di Seri Setia Umno beri laluan PAS bertanding namun kalah juga.


Dalam cubaan ketiga iaitu PRK Semenyih Umno bertanding dan kali ini PAS bukan sekadar beri laluan tetapi membantu jentera Umno bersungguh-sungguh. Siang malam beliau bersingsing lengan di Semenyih dengan jentera Umno dibantu PAS.


Beliau berjaya tebus Semenyih dan tumbangkan calon PH yang ketika itu berkuasa di Federal dan Negeri.


Selebihnya sejarah hinggalah PH tumbang setelah Mahathir letak jawatan dan Umno memilih bersama mendukung kerajaan baru bawah Tan Sri Muhyiddin.


Beliau menjadi Menteri Kanan Pertahanan dan Umno makin stabil. Kemudian Muhyiddin lepaskan jawatan dan beliau naik sebagai Perdana Menteri ke-9, Umno kembali bertenaga menguasai Negeri Perak, Johor dan Melaka.


Hari ini sepatutnya beliau diangkat dan dijulang sebagai pemimpin terbilang dalam Umno, tetapi tiba-tiba beliau buat keputusan tidak mempertahankan jawatan Naib Presidennya.


Pasti ada yang tidak kena. Orang luar Umno khasnya dari PAS dan rakyat kebanyakan menghargai dan kenang jasa beliau semasa menjadi Menteri dan kemudian Perdana Menteri.


Saya yakin begitu juga sahabat-sahabat akar umbi Umno tetapi lantaran sesuatu yang tidak kena beliau seakan ditepis dan dipinggirkan.


Orang Melayu kuat mengenang jasa dan pantang derhaka. Apa yang tidak kena itu?


Perbetulkanlah sahabat-sahabatku, di saat genting ini kekuatan politik umat Melayu Islam perlu dikukuh dan disatukan bukan dibiarkan pecah belah dan ditentukan nasib oleh orang luar. Jangan sampai tersembam mencium tanah.


ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR

bottom of page