top of page
  • newsatmy

UMNO jangan ulang kesilapan lampau – Hishammuddin


Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ahli UMNO jangan sesekali berasa selesa sehingga mengulangi kesilapan lampau dan tidak memilih jalan yang merugikan parti Melayu itu, sebaliknya perlu tetap berpegang pada prinsip toleransi, kesatuan dan kesetiaan.


"Hari ini kita telah kembali menduduki tampuk kuasa pemerintahan kerajaan. Saya bimbang, keselesaan akhirnya kembali menjerat kita, jika kita tidak berwaspada.


"Tahun lepas sahaja, kita telah melalui tempoh yang cukup menduga, yang sekali lagi menguji diri kita sebagai pejuang parti.


"Menguji kesabaran, menguji kesetiaan, menguji kebijaksanaan dan paling penting menguji keikhlasan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sembrong, pada Ahad.


Mengulas lanjut, beliau mengingatkan yang UMNO berdepan dengan tekanan dari peringkat dalam dan luar sejak kembali membentuk kerajaan.


Antara cabaran tersebut termasuk usaha mengekang penularan COVID-19, selain sesi sidang Parlimen yang cukup mendebarkan serta ke arah menuju pilihan raya akan datang.


Hishammuddin yang juga Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), berkata kekhilafan lalu yang menyebabkan parti itu tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) perlu dijadikan pengajaran.


"Pendek kata, tidak ada walau sehari pun yang meletakkan kita dalam keadaan selesa dan selamat.


"Setiap hari menuntut kita untuk melakukan yang lebih baik, penuh hikmah dan kebertanggungjawaban," ujarnya.


"Janganlah kita terpaksa melalui peristiwa hitam itu sekali lagi. Hari ini suasana dalam parti jauh lebih baik berbanding sewaktu kita mula-mula tewas dahulu.


"Hari ini, yang setia dan berjiwa besar telah memilih untuk kekal beristiqamah berjuang bersama parti. Semangat kita sudah semakin pulih. Kesatuan antara kita juga sudah semakin baik," ujar beliau.


bottom of page