top of page
Writer's pictureNizam

UMNO langgar semangat piagam MN-Wan Saiful

5 Disember 2021

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan mengingatkan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan agar tidak lupa bahawa beliau yang mempengerusikan mesyuarat yang membuat keputusan menjemput BERSATU menyertai Muafakat Nasional (MN) pada Ogos tahun lalu.

Wan Saiful berkata susulan itu, satu surat jemputan kepada BERSATU telah ditandatangani oleh Presiden PAS dan Presiden UMNO bertarikh 13 Ogos yang kemudiannya dipersetujui BERSATU pada 18 Ogos. Namun, jelasnya, UMNO yang mengubah pendirian dengan menolak penyatuan ummah dan tidak mahu bekerjasama dengan BERSATU selepas Perhimpunan Agung UMNO pada Mac lalu.

“Bagaimana pula Tok Mat boleh kata bahawa UMNO dipaksa menerima Bersatu dan menerima Bersatu bercanggah dengan semangat MN? Takkan Tok Mat buat-buat lupa bahawa dia sendiri yang pengerusikan mesyuarat yang putuskan untuk jemput BERSATU masuk MN. Bagaimana boleh dipaksa…. Bukankah Timbalan Presiden pengerusikan mesyuarat yang membuat keputusan jemput BERSATU, dan Presiden pula tandatangan surat jemputan serta umumkan ke seantero negara? “Biar saya nyatakan kronologi sebenar supaya rakyat boleh faham siapa yang melanggar semangat MN. Piagam MN dilancarkan pada 2019. Pada Ogos 2020, Presiden UMNO menyatakan bahawa Tok Mat telah mempengerusikan mesyuarat MN yang buat keputusan untuk jemput BERSATU. Susulan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Tok Mat itu, satu surat jemputan kepada BERSATU telah ditandatangani oleh Presiden PAS dan Presiden UMNO bertarikh 13 Ogos 2020. BERSATU kemudian bersetuju menerima jemputan itu. Tarikh surat penerimaan dari BERSATU ialah 18 Ogos 2020. “Pada bulan Mac 2021 UMNO buat keputusan dalam Perhimpunan Agung untuk tolak penyatuan ummah dan tak mahu kerjasama. Maksudnya UMNO sendiri mengubah keputusan yang dia buat pada Ogos sebelumnya. Ke mana hilangnya semangat Piagam MN yang membawa kepada keputusan untuk berkerjasama pada Ogos sebelum itu? Surat dah sign, tapi siapa yang ubah? Kalau kita telusuri kronologi dengan jujur, siapa yang ikhlas dengan Piagam MN dan siapa yang langgar Piagam MN?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Saiful berkata demikian mengulas kenyataan Mohamad bahawa cubaan untuk memaksa UMNO menerima BERSATU dalam Muafakat Nasional adalah bertentangan dengan semangat gagasan itu ditubuhkan. Terdahulu, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan PAS menolak gagasan MN kerana mendakwa UMNO tidak mengikut piagam yang dipersetujui ketika kerjasama dua parti itu dibentuk. Hadi merujuk kepada keengganan UMNO menerima BERSATU pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyertai MN. Hadi berkata PAS tidak boleh terima keadaan di mana kepimpinan UMNO hanya mahu parti itu dan PAS dalam MN.

Dalam pada itu, Wan Saiful turut berkongsi pautan tajuk berita dan Twitter yang memaparkan kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjemput BERSATU dalam MN, beserta surat MN kepada Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Commenti


bottom of page