• newsatmy

'UMNO lebih teruk kena buli dengan DAP jika bergabung dengan PH' - KB Seremban

24 Mei 2021

KUALA LUMPUR: UMNO akan dibuli lebih teruk oleh DAP berbanding ketika bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), jika memilih untuk bergabung di bawah jajaran baharu bersama Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.


Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mustafa Salim mendakwa, UMNO tidak akan menjadi lebih kukuh dan selamat kerana DAP sudah sekian lama berdendam dan hanya akan mempergunakan Melayu untuk kepentingan bangsanya.


"DAP cara mana sekalipun dia tidak akan boleh menerima parti Melayu khususnya UMNO, sebab kalau kita hendak kata dengan Pas dia pernah bersama, kalau bersama Bersatu pun pernah bersama.


"Tetapi saya nampak DAP tidak akan menerima UMNO khususnya orang Melayu di bawah naungan UMNO sebab kita lebih kepada mempertahankan Raja-raja Melayu. Kita juga lebih mempertahankan ketuanan Melayu walaupun itu dinafikan sesetengah pihak khususnya orang Melayu di dalam DAP.


"Jadi kalau UMNO mengambil tindakan atau membuat pilihan bersama DAP, saya nampak DAP akan lebih teruk lagi atau akan membuli UMNO mengikut kehendak dia. Ini kita sudah nampak... walaupun macam mana hebat sekalipun Tun Dr Mahathir Mohamad, semasa dia menerajui Malaysia di bawah kerajaan PH ketika itu, tetapi Lim Guan Eng khususnya, meminta jawatan tertentu yang khusus kepada DAP.


"UMNO tidak boleh menerima keadaan itu. Jadi sebelum benda itu berlaku UMNO tidak boleh menerima. Sebilangan besar Melayu tidak akan menerima bersama DAP walaupun selepas PRU15," dakwanya semasa dihubungi pada Ahad.


Sebelum ini, Dr Mahathir membayangkan tidak akan ada mana-mana parti yang memenangi kerusi pada PRU15 boleh membentuk sebuah kerajaan yang stabil.


Beliau berkata, ini kerana pada masa ini terlalu banyak parti yang mahu bertanding, namun tidak ada satupun parti dominan dan gabungan parti-parti politik yang berlaku selepas PRU15 tidak akan menjadi sebuah kerajaan yang stabil kerana mereka akan saling mengugut jika tuntutan tidak dilayan.


Sementara itu, Mustafa berkata, walaupun UMNO merupakan parti paling banyak kerusi, namun DAP tetap akan lebih patuh kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim jika parti itu bersama PH.


Sebelum ini Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman mendakwa, jajaran politik baharu UMNO bersama parti DAP dan PKR tidak mustahil boleh berlaku memandangkan Pas dahulu pernah bersama kedua-dua parti itu di bawah Pakatan Rakyat (PR).


Kata beliau, ahli-ahli UMNO khusunya perlu menerima kemungkinan situasi itu jika norma baharu politik tersebut benar-benar berlaku.


Namun katanya, timbul persoalan adakah ketiga-tiga parti boleh duduk semeja dan menyesuaikan ideologi masing-masing di bawah satu bumbung.


-Astro Awani