top of page
  • admin

UMNO Padang Terap lulus usul Ismail Sabri terus terajui negara


PADANG TERAP,16 OKT: UMNO Bahagian Padang Terap meluluskan usul tanpa berbelah bahagi menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus menerajui kepimpinan negara sebagai Perdana Menteri.


Ketuanya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, UMNO bahagian itu turut meluluskan usul memberi kepercayaan kepada Presiden Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta kepimpinan parti menyusun strategi memperkukuhkan UMNO.


"Alhamdulillah, UMNO Padang Terap mencapai kata sepakat itu dengan ketetapan tersebut yang menandakan keyakinan teguh seluruh kepimpinan Bahagian Padang Terap untuk melihat UMNO terus diperkukuhkan.

“Kepimpinan dan seluruh ahli-ahli UMNO Padang Terap juga mencapai kata putus itu selaras dengan situasi semasa iaitu untuk menghadapi pilihan raya umum yang bakal menjelang tidak lama lagi", katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan.


Tambah Mahdzir, UMNO Bahagian itu juga meluluskan usul bertegas dalam menangkis sebarang usaha oleh mana-mana pihak yang boleh mengundang campur tangan asing dalam hal ehwal negara ini.


"UMNO Padang Terap berpandangan, walau di dalam apa jua bentuk dan alasan sekalipun, kita tidak boleh membiarkan campur tangan asing dalam urusan negara kerana kita mampu membentuk negara kita berdasarkan acuan dan hala tuju kita sendiri," kata beliau.


Selain itu, UMNO Padang Terap juga, jelas Mahdzir, meluluskan usul memerangi sebarang bentuk penyebaran dan dakyah yang tidak bertanggungjawab serta penyalahgunaan media sosial, cetak dan elektronik sebagai medan penyebar fitnah, propaganda dan adu domba.


Turut diluluskan, usul supaya bersiapsiaga menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan penuh iltizam, cekal dan sehati sejiwa tanpa sebarang prasangka di semua peringkat kepimpinan dan ahli sama ada di pusat, negeri, bahagian dan cawangan.


"Berpaksikan kebenaran, kesungguhan serta kejujuran dalam memperjuang dan membela rakyat, dengan rekod keupayaan terdahulu dalam menerajui kepimpinan negara, persidangan UMNO Bahagian Padang Terap pada kali ini mengambil ketetapan menyokong penuh gandingan kepimpinan utama negara dan parti yang menjiwai denyut nadi rakyat dan suara hati parti keramat ini di bawah satu bumbung Keluarga Malaysia,” kata Mahdzir lagi.

bottom of page