top of page
  • newsatmy

Umno Raja Drama Politik?


Kepimpinan Tertinggi Bersatu mengambil pendekatan menunggu dan melihat keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno berhubung gesaan Umno bahagian yang menyuarakan penolakan kerjasama dengan Bersatu untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.


Tidak terkejut dengan perkembangan berkenaan, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman memberitahu setakat ini Bersatu masih belum membincangkan perkara itu.


"Setakat ini Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Bersatu belum membincangkan hala tuju politik andai Umno berkeras mahu memutuskan kerjasama atau meruntuhkan kerajaan PN.

"Kami masih menunggu dan melihat keputusan rasmi dari mesyuarat MT Umno nanti," katanya kepada Malaysiakini.


Dia berkata demikian apabila diminta untuk mengulas lebih lanjut mengenai tindakan Bersatu selepas majoriti bahagian Umno menolak kerjasama bersama parti mereka.


Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan sebanyak 189 daripada 191 bahagian Umno menolak kerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi PRU ke-15.


Muhammad Faiz berpendapat sekiranya lebih baik rakyat sendiri yang menilai sikap para pemimpin Umno yang disifatkannya sebagai "banyak berdrama politik" sejak tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional (PN).


Mengulas perkembangan lain, Muhammad Faiz menyentuh isu dakwaan akuan bersumpah menyokong Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan tindakan enggan mendaftarkan Muafakat Nasional.


"Yang pasti kami dan juga rakan-rakan PN seperti PAS telah menghulur tangan perpaduan ummah yang akhirnya berjaya memendekkan kekuasaan DAP dan puak ultra liberal di Putrajaya.


"Namun, ia telah dibalas dengan angkuh, fitnah serta ugutan oleh pihak yang telah pun tersungkur diajar rakyat dalam PRU lalu," katanya sambil memuji beberapa pemimpin Umno seperti Annuar Musa, Shahidan Kassim dan Ismail Sabri.

bottom of page