top of page
  • Writer's pictureMatha Ahmad

Umno Vs Bersatu dalam PRU15, sedia bertembung

27 September 2021

Seperti akan menjadi kepastian,Umno tak akan bersama Bersatu dalam PRU15, sedia bertembung.Dijangkakan UMNO akan menggunakan Logo BN manakala BERSATU akan menggunakan logo PN dalam PRU 15.


Veteran Umno mengingatkan Presiden Bersatu Tan Seri Mahiaddin Yassin agar tidak perlu membuang masa dengan menaruh harapan Umno akan bersama Bersatu dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang. Setiausaha Veteran Umno, Mustapha Yaakub, parti mereka bersedia dengan kemungkinan bertembung dengan Bersatu.


“Umno telah berbulat tekad tidak akan bersama dengan Bersatu. Sudah berkerat rotan berputus arang. Bercerai talak tiga dan tak boleh rujuk lagi.


“Bersedialah untuk berdepan. Hanya yang terbaik akan menang,” katanya kepada Malaysiakini.


Mustapha berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pemimpin Bersatu yang mengatakan bahawa Perikatan Nasional (PN) tidak akan terkesan sekiranya berlaku pertembungan antara parti dalam kerajaan pada PRU akan datang.


Tambah Mustapha, kenyataan pemimpin Bersatu itu membuktikan parti berkenaan masih menaruh harapan untuk bekerjasama dengan Umno.


“Veteran Umno ingin menyedarkan Mahiaddin bahawa bagi Umno sudah terang lagi bersuluh tiada sebarang kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15.


“Keputusan PAU (Perhimpunan Agung Umno) dengan jelas Umno menolak Bersatu.



“Veteran dapat membaca apa yang tersirat di sebalik kekeliruan Mahiaddin itu. Dia sedar Bersatu tidak berkemampuan untuk berdepan dengan Umno dalam PRU-15.


“Bersatu tidak mempunyai jentera sebaik UMNO untuk menggerakkan jentera pilihan raya. Bersatu juga sedar PAS tidak dapat membantu mereka kerana PAS akan menumpukan jenteranya bagi memenangkan calon-calon PAS,” katanya.


Malah, tambah Mustapha lagi, hanya Umno yang dapat membantu Bersatu untuk mengekalkan 16 kawasan “lompat parti”.


Semalam, Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan membayangkan Perikatan Nasional (PN) tidak akan terkesan sekiranya berlaku pertembungan beberapa penjuru di antara gabungan tersebut ketika PRU ke-15 nanti.


Menurut Wan Saiful, meskipun tidak pasti sama ada Umno akan turut bersama dalam gabungan itu pada PRU ke-15 nanti, PN perlu meneruskan kelangsungan bersama parti gabungan sedia ada – PAS, Gerakan, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).


“Bagi saya, kita teruskan agenda perpaduan politik Melayu Islam demi kemakmuran rakyat semua bangsa dan agama, dan biar rakyat membuat penilaian.



“Fokus kita adalah PN, kuatkan PN untuk jaga rakyat, dan memulihkan negara.


“PN tidak akan terkesan sekiranya ada pertembungan banyak penjuru. Kita akan jalan terus bersama founding partners kita dalam PN iaitu PAS, Gerakan, SAPP dan STAR,” kata Wan Saiful.


Wan Saiful berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mahiaddin yang juga pengerusi PN sebelum itu yang memberikan pandangan terhadap beberapa perkara penting yang melibatkan kerjasama gabungan parti dalam PN di peringkat Dewan Undangan Negeri, Parlimen dan nasional.


bottom of page