top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Umno terpaksa lupakan kerjasama dengan PAS semasa PRU15 - Ahmad Zahid

8 Mei 2022

BAGAN DATUK: Kerjasama Umno dan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) perlu diketepikan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata ini berikutan parti itu telah memberi ruang yang cukup kepada PAS untuk bersetuju dengan perkara yang terkandung dalam piagam MN, namun ia tidak pernah menjadi kenyataan.


Pada 14 Sept 2019, piagam MN telah dimeterai antara Umno dan Pas yang antara lain bersetuju menjalin kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu, tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kemakmuran negara.


“Jadi kita lupakan sahaja hasrat (kerjasama) yang diluahkan oleh mereka (Pas),” katanya menjawab soalan sama ada Umno akan bergerak secara solo pada PRU15, ketika ditemui pada sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kompleks Umno Bagan Datuk. disini hari ini.


Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan semalam bahawa penyatuan ummah melalui MN dianggap formula terbaik, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata itu adalah pandangan Pas.


Sementara itu, ditanya mengenai gesaan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz supaya Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin parti kerana tidak mendampingi parti menyokong kerajaan pimpinan Umno sekarang, Ahmad Zahid berkata parti itu terbuka kepada perbezaan pendapat.


“Saya rasa jika Lembaga Disiplin Umno mahu ambil tindakan, bukan sahaja beliau (Tengku Razaleigh) tetapi ramai bekas pemimpin lain, sama ada ahli Parlimen atau di luar kepimpinan Majlis Tertinggi, yang boleh diambil tindakan.


“Lembaga Disiplin Umno mempunyai budi bicara tertentu untuk mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat kerosakan yang berlaku kepada perpaduan parti,” katanya.


Nazri pada Khamis dilaporkan berkata Lembaga Disiplin UMNO perlu mengambil tindakan tegas terhadap Tengku Razaleigh kerana memilih untuk kekal dalam blok Bebas.

bottom of page