top of page
  • admin

UMNO terus terperangkap persepsi ‘negatif’ jika Zahid kekal presiden


UMNO akan terus ‘terperangkap’ dengan persepsi negatif dalam kalangan sebahagian besar rakyat jika Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kekal sebagai Presiden parti selepas pemilihan parti itu nanti.


Bagi mengelakkan perkara itu, UMNO memerlukan pe­mimpin baharu dengan hala tuju yang baharu untuk menerajui parti sekali gus mengembalikan zaman kegemilangannya seperti sebelum ini, menurut Utusan yang memetik kenyataan penganalisis politik, Prof Wong Chin Huat.


Beliau yang juga Timbalan Ketua (Strategi) Ibu Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB, Sunway University, berkata UMNO mempunyai kelebihan tetapi memerlukan ‘penciptaan semula’ bagi menarik pengundi Melayu konservatif.

“Namun, ini tidak boleh bercanggah dengan Pakatan Harapan (PH) hingga menjatuhkan kerajaan campuran. Maknanya, UMNO perlukan ‘perbezaan produk’ yang serasi dengan PH dan mampu menarik pengundi Melayu.


“Ia tidak boleh berasaskan naungan (patronage) yang menyebabkan UMNO ketagih de­ngan korupsi atau ultra nasiona­lisme kaum dan agama. Kalau UMNO cuba meniru PAS dalam Islamisasi yang keras pendekatannya, ia akan gagal sebagai produk tiruan.

“Apa pun pilihan, UMNO mesti berpisah dengan budaya naungan dan rasuah. Untuk kes pendakwaan Zahid, biarlah mahkamah mengadili­nya,” katanya.


Mengulas lanjut, kata Chin Huat, UMNO berpeluang me­rampas semula sebahagian wila­yahnya yang jatuh atau hilang dalam tempoh lima tahun jika pemilihan UMNO berjaya menobatkan pemimpin yang membawa hala tuju baharu parti.


Ditanya individu yang layak mengemudi parti selain Zahid, beliau berkata, ramai pemimpin yang berpotensi besar termasuk Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin.

“Ini terpulang pada apakah hala tuju baharu yang dapat diungkapkan dalam kempen pemilihan parti. Semuanya berpotensi. Jika tiada hala tuju baharu meskipun muka baharu menjadi presiden, masa depan UMNO tetap malap,” katanya.


Media sebelum ini melaporkan, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy antara dua nama yang dijangka berani mencabar Zahid jika jawatan Presiden UMNO dibuka untuk dipertanding pada pemilihan parti.


Agenda daily

bottom of page