top of page
  • zaman

Unit khas teliti individu layak keluarkan KWSP


KUALA LUMPUR 11 April: Kerajaan digesa agar menubuhkan sebuah unit khas untuk meneliti kes secara spesifik bagi setiap individu yang ingin mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menilai merit kelayakan masing-masing. Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk membenarkan pengeluaran KWSP bersasar atas keperluan tertentu dengan jumlah tertentu yang dibenarkan.


Menurutnya, beliau memahami hasrat kerajaan, bahawa KWSP adalah untuk simpanan hari tua demi menjaga kepentingan rakyat, namun persoalan yang timbul adalah tentang kemungkinan pencarum gagal membayar semula pinjaman cagaran membabitkan caruman KWSP tersebut.


Beliau berkata demikian semasa perbahasan usul pengeluaran KWSP bersasar di Dewan Negara, di sini.


“Apakah implikasi kewangan yang perlu ditanggung oleh pencarum sekiranya mereka gagal atau tidak mampu melunaskan pembayaran balik pinjaman cagaran ini?


“Bagaimanakah dengan pencarum KWSP yang berada dalam senarai hitam di bawah sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) atau diisytiharkan bankrap oleh Jabatan Insolvensi Malaysia)?” soalnya.


Terdahulu, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, fasiliti Sokongan Akaun Dua (FSA2) KWSP bukan berbentuk cagaran oleh peminjam terhadap pihak bank


Beliau menegaskan bahawa pihak bank tidak boleh menggunakan simpanan peminjam KWSP sekiranya ahli atau peminjam gagal membayar ansuran pinjaman mereka.


“Cagaran maksudnya (pihak bank) mempunyai hak untuk menguatkuasakan cagaran apabila berlaku kegagalan daripada pihak peminjam, maksudnya jika pinjam RM5,000, tak bayar, serta-merta ambil RM5,000,” katanya ketika menggulung usul pengeluaran lanjutan KWSP di Dewan Negara, semalam.


“Tetapi FSA2 ini bukan cagaran, pemberi pinjaman iaitu bank tidak boleh menggunakan simpanan KWSP sekiranya ahli gagal membayar ansuran pinjamannya.


“Ahli mempunyai hak untuk membuat pengeluaran apabila mencapai umur 50 atau 55 tahun kerana ahli masih dilindungi di bawah Seksyen 51 Akta KWSP 1991,” kata Ahmad Maslan.

bottom of page