• Arissa Azman

Upah AS$1,300 untuk tonton 13 filem paling seram

19 September 2021

SEBUAH syarikat kewangan akan membayar seorang individu AS$1,300 (RM5,410) untuk menonton 13 filem seram sepanjang bulan Oktober dalam usaha untuk mengetahui sama ada bajet filem mempengaruhi hasilnya.


FinanceBuzz akan mengupah seorang sahaja individu untuk mengisi jawatan yang dinamakan Horror Movie Heart Rate Analyst.


Individu yang terpilih akan menonton 13 filem paling menakutkan yang pernah dihasilkan sambil memantau degupan jantung menggunakan Fitbit, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.


"Kami ingin mengetahui sama ada filem seram dengan kos tinggi mampu memberikan rasa takut dengan lebih berkesan berbanding filem dengan kos rendah," kata kenyataan itu.


Individu berkenaan perlu menonton 13 filem terpilih dalam tempoh 10 hari iaitu dari 9 Oktober hingga 18 Oktober.


Filem yang terpilih ialah Saw, Amityville Horror, A Quiet Place, A Quiet Place Part 2, Candyman, Insidious, The Blair Witch Project, Sinister, Get Out, The Purge, Halloween, Paranormal Activity dan Annabelle.


Penganalisis itu akan dibekalkan dengan peralatan tracker Fitbit secara percuma.


Mereka yang berminat harus memberitahu syarikat mengapa mereka adalah orang terbaik untuk 'jawatan' itu, dan individu terpilih akan diumumkan pada 1 Oktober depan.


Bagaimanapun, hanya mereka yang tinggal di Amerika Syarikat dan berumur sekurang-kurangnya 18 tahun layak memohon.