top of page
  • newsatmy

Vaksin Sinovac mula diagih Khamis ini, KJ penerima pertama

16 Mac 2021

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mula menggunakan vaksin Covid-19 Sinovac Khamis ini, dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin bakal menjadi penerima pertama.


“Penggunaan vaksin Sinovac itu akan dilancarkan di Hospital Rembau dan saya akan menjadi orang pertama menerimanya,” kata Khairy, yang juga menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, dalam sidang media.


Khairy berkata, 100,000 dos vaksin itu akan tiba hari ini manakala 100,000 lagi pada 22 Mac.

“Selain itu, 83,070 dos vaksin Pfizer-BioNtech akan tiba hari ini diikuti dengan 100,000 dos lagi pada 22 Mac, serta 125,190 dos pada 29 Mac.


“Menjelang 29 Mac, jumlah kumulatif vaksin Pfizer-BioNtech akan mencapai 1,000,350 dos,” kata Ahli Parlimen Rembau itu.


Menurut Khairy, seramai 292,104 orang sudah menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNtech setakat Sabtu lalu.


“Daripada jumlah itu, hanya 302 penerima, atau 0.11%, daripada kumpulan wakil rakyat dan pentadbiran,” kata beliau.


Beliau berkata, jururawat paling ramai divaksinasi dengan 23.86% daripada jumlah keseluruhan penerima vaksin, diikuti doktor (22.23%), pekerja kesihatan lain seperti pembantu perubatan (23.40%), pihak berkuasa tempatan (21.33%) doktor gigi (5.62%) dan ahli farmasi (3.45%).


Mengenai pendaftaran vaksin melalui MySejahtera, beliau berkata, lebih 1.4 juta pengguna masih belum melengkapkan pendaftaran mereka.


Beliau menggesa orang ramai melengkapkan pendaftaran dengan mengesahkan maklumat peribadi mereka dan menjawab soalan penilaian kesihatan yang tersedia dalam aplikasi.


Sementara itu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, mereka yang menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNtech pada hari pertama pelaksanaan program imunisasi kebangsaan akan menerima dos kedua Rabu ini, iaitu tepat 21 hari selepas program itu dimulakan.


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah adalah dua penerima pertama vaksin Pfizer-BioNtech ketika program itu dilancarkan pada 24 Feb.

bottom of page