top of page
  • newsatmy

WHO gesa dunia tidak hentikan vaksinasi COVID-19 ekoran keprihatinan berkaitan AstraZeneca

16 Mac 2021

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyeru kepada negara-negara pada Isnin (15 Mac) supaya tidak menghentikan kempen vaksinasi setelah lebih banyak negara Eropah dan satu di Asia menyertai beberapa negara lain dalam menggantung penggunaan vaksin COVID-19 AstraZeneca berikutan keprihatinan tentang keselamatan.


Thailand pada Isnin mengumumkan bahawa ia akan meneruskan dengan vaksinasi AstraZeneca namun Indonesia menyatakan bahawa ia akan menunggu selepas Ireland dan Belanda mengumumkan penggantungan pada Ahad (14 Mac).


Jerman pada Isnin mengumumkan bahawa ia akan menggantung vaksinasi AstraZeneca, menyusuli saranan dari Institut Paul Ehrlich, badan penguasa yang bertanggungjawab atas vaksin-vaksin di negara itu.


Perancis dan Itali juga memutuskan untuk henti memberikan vaksin itu. Perdana Menteri Perancis Emmanuel Macron berkata Perancis akan berhenti menggunakan vaksin itu sementara menanti penilaian oleh pengawal selia perubatan Kesatuan Eropah pada Selasa.


Perdana Menteri Itali Mario Draghi berkata beliau juga membuat keputusan untuk menggantung penggunaan vaksin itu setelah berbincang dengan menteri kesihatannya.


Denmark dan Norway melaporkan kes-kes terpencil bagi pendarahan, darah beku dan bilangan platelet rendah selepas menerima vaksin AstraZeneca. Iceland dan Bulgaria sebelum ini menggantung penggunaannya manakala Austria berhenti menggunakan kumpulan-kumpulan vaksin tertentu.


WHO menyatakan panel penasihatnya sedang mengkaji semula laporan-laporan berkaitan vaksin itu dan akan menerbitkan dapatannya secepat mungkin. Namun ia menyatakan bahawa ia berkemungkinan tidak akan mengubah saranan yang dikeluarkan pada bulan lalu bagi penggunaan secara meluas, termasuk di negara-negara yang mana varian Afrika Selatan virus itu mungkin menjejas keberkesanannya.


"Setakat hari ini, tiada bukti bahawa insiden-insiden itu disebabkan oleh vaksin tersebut dan adalah penting kempen-kempen vaksinasi diteruskan supaya kita boleh menyelamatkan nyawa dan membendung penyakit serius ditimbulkan daripada virus itu," kata jurucakap WHO Christian Lindmeier.


Vaksin AstraZeneca adalah yang pertama dan paling murah untuk dihasilkan dan dilancarkan dalam jumlah yang banyak sejak koronavirus pertama kali dikesan di China pada penghujung 2019 dan ia dijangka adalah tunggak utama bagi program-program vaksinasi di sebilangan besar negara-negara membangun. Lebih daripada 2.7 juta orang terkorban kerana jangkitan COVID-19.

bottom of page