top of page
  • zaman

Zahid dapat pasport semula secara kekal


PUTRAJAYA 27 Mac: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan pasport antarabangsa dan pasport diplomatik secara kekal bagi membolehkannya menjalankan tugas rasmi di luar negara


Keputusan kebenaran memulangkan pasport kepada Presiden UMNO itu dibuat tanpa ada bantahan daripada pihak pendakwa raya atas alasan bagi membolehkannya menjalankan tugas rasmi di luar negara sebagai Timbalan Perdana Menteri.


Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara hari ini membenarkan permohonan Zahid selepas Mahkamah Tinggi pada 3 Februari lalu yang menolak permohonan beliau untuk mendapatkan dokumen itu secara kekal.

Menurut Hanipah, panel berpuas hati bahawa permohonan yang dibuat Zahid mempunyai merit.


Turut bersidang, hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Lim Chong Fong.

“Mahkamah sudah meneliti hujahan pemohon, oleh itu membenarkan permohonan ini,” katanya.


Permohonan semakan Zahid itu tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob.


Sementara itu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Zahid, ketika ditemui selepas prosiding berkata, jaminan RM2 juta yang dikenakan mahkamah tinggi sebelum ini dikekalkan.


Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim mahkamah rayuan) sebelum ini hanya membenarkan pelepasan sementara dokumen itu untuk Zahid, bagi urusan memohon pasport diplomatik dan seterusnya menyerahkan semula kedua-dua pasport itu kepada mahkamah selepas segala urusan permohonan diplomatik selesai.


Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, membabitkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini prosidingnya di peringkat pembelaan.


Berdasarkan notis usul yang difailkan pada 13 Februari lalu, Zahid memohon pelepasan pasport dipertimbangkan dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan supaya ia dapat dilepaskan secara penuh dan kekal, dengan apa-apa syarat sewajarnya yang dikenakan oleh mahkamah itu

bottom of page