top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Zahid patut ‘cermin dulu’ sebelum cakap soal Muhyiddin

5 April 2022

Bila Zahid Hamidi mula bersuara susulan pertemuan Muhyiddin Yassin dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan mengkritik Presiden BERSATU itu, maka jelaslah bahawa sebenarnya UMNO dan BN dalam keadaan cuak. Zahid cukup takut jika kerjasama politik antara PN dengan parti pembangkang menjadi kenyataan.


Ini kerana Zahid tahu UMNO dan BN bakal tewas dalam PRU-15 nanti jika undi untuk pembangkang tidak terpecah. Zahid sedar bahawa senario di PRN Melaka dan PRN Johor yang sebelum ini menguntungkan BN tidak akan berulang, jika usaha penyatuan yang digerakkan oleh Muhyiddin menjadi kenyataan.


Lebih menjadi mimpi ngeri buat Presiden UMNO itu ialah jika BN tewas dia tidak akan kembali berkuasa. Namun, bila Zahid menuduh Muhyiddin tidak berprinsip susulan pertemuan Presiden BERSATU itu dengan Tun Mahathir – ini kelakar.


‘Tubuh’ Zahid sendiri sebenarnya penuh dengan calar, parut serta ‘dosa politik’. Zahid ini barangkali lupa agaknya bahawa Muhyiddin tidak salah untuk merintis kerjasama politik bagi berdepan PRU-15 kerana faktanya UMNO dan BN sendiri bermati-matian menolak PN.


Jadi kenapa Zahid perlu melenting jika benar sekalipun Muhyiddin mahu kembali jadi Perdana Menteri? Muhyiddin bukan ada kes mahkamah seperti Zahid – yang tidak patut dan tidak boleh dibenarkan menjadi Perdana Menteri adalah orang yang ada kes mahkamah seperti yang berlaku pada Zahid sekarang.


Dalam hal ini sebenarnya, Zahid perlu malu dengan Muhyiddin. Muhyiddin tidak menafikan beliau bertemu Tun Mahathir dan Anwar serta ada berbincang dengan Shafie Apdal. Sebaliknya, mengakui perkara itu demi merintis kerjasama – bukan untuk mengguling kerajaan tetapi bagi menghadapi PRU-15.


Berbeza dengan Zahid – walaupun tersebar audio perbualan telefon bersama gurunya – walaupun tular surat akuan bersumpah sokongannya untuk Anwar menjadi Perdana Menteri – Zahid tetap menafikan perkara tersebut.


Dia hanya mengakui perkara itu dalam mesyuarat tertutup bersama Ismail Sabri. Itu pun setelah didesak beberapa pemimpin dalam Majlis Tertinggi UMNO tetapi Zahid sampai sekarang tidak pernah membuat pengakuan terbuka bagi mengesahkan hal itu.


Sebab itu, bijak pandai Melayu selalu memberi nasihat sebelum mengata orang elok cermin diri dulu kerana ketika satu jari menuding kepada orang lain, empat lagi jari ‘menembak’ diri sendiri.


Lebih teruk, dibimbang nanti orang melabelkan kita ibarat ayam jantan – berkokok berderai-derai tetapi ekor bergelumang tahi.

Comments


bottom of page