• Arissa

Zahid Tidak Berpendirian, Kata Mahathir

10 Julai 2021

KUALA LUMPUR: Kenyataan yang dikeluarkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan bahawa kerajaan ini telah gagal khususnya dalam membendung gejala COVID-19 merupakan satu kenyataan yang jelas tidak berpendirian.


Ketua BERSATU Bahagian Segambut Mahathir Mohd Rais berkata sekiranya kerajaan ini gagal, UMNO juga turut sama gagal kerana UMNO juga merupakan sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional.


“Dato Seri Zahid Hamidi jelas tidak lagi mempunyai kredibiliti untuk memimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas membuat pengakuan berhubung dengan rakaman audio yang tersebar antara beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan suaranya.


“Tindakan dalam mengheret Parti UMNO untuk menarik semula sokongan terhadap YAB Perdana Menteri ketika mesyuarat MKT malam tadi telah memperlihatkan keadaan mereka yang semakin terdesak untuk mendapatkan kuasa sehingga bertindak untuk menggulingkan kerajaan dan sanggup untuk mengenepikan kebajikan rakyat.


“Namun, saya percaya masih ramai pemimpin UMNO yang sentiasa meletakkan rakyat sebagai keutamaan dan bukannya agenda politik semata-mata.


“Sebagai pemimpin akar umbi BERSATU, saya mendesak agar semua Ahli Parlimen menghentikan tindakan mempolitikkan soal sidang Dewan Rakyat, program immunisasi dan sebagainya sebaliknya menumpukan perhatian dalam Pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.


Pelan Pemulihan Negara yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bertepatan dalam memastikan kerajaan dapat melaksanakan perancangan yang lebih tersusun mendepani pandemik COVID-19.



--PN Online