top of page
  • newsatmy

15 syarikat tempatan, antarabangsa terima Anugerah MIHAS 2022


KUALA LUMPUR,10 Sept: Sebanyak 15 syarikat tempatan dan antarabangsa yang cemerlang dalam mempromosikan ekonomi halal menerima Anugerah Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) pada tahun ini.


Majlis anugerah itu dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui agensinya, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini semalam.


Pemenang daripada tiga kategori yang dipertandingkan dinilai dari segi segmen produk, perkhidmatan, reruai pameran dan platform media sosial yang merangkumi ciri-ciri inovasi dan kreatif dalam usaha mempromosikan ekonomi halal.

Tiga kategori itu ialah Anugerah Reruai Pameran Terbaik, Anugerah Inovatif Terbaik, Anugerah Sosial Media Berimpak Tinggi dan satu anugerah khas iaitu Anugerah Pencapaian Halal Terbaik.


Bagi Anugerah Reruai Pameran Terbaik, ia terbahagi kepada dua kategori iaitu Anugerah Reruai Pameran Malaysia Terbaik yang masing-masing dimenangi oleh syarikat Nestle (Malaysia) Berhad dan EB Frozen Food Sdn Bhd, sementara Anugerah Reruai Pameran Antarabangsa diberikan kepada Al`Ard Palestinian Agri-Products Lt dan Exportcircless.


Anugerah Reruai Pameran Pavilion Negara Terbaik pula diberikan kepada Jabatan Promosi Perdagangan Antarabangsa (DITP), Kementerian Perdagangan Thailand manakala Anugerah Reruai Pameran Pavilion Negeri Terbaik di Malaysia jatuh kepada Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Pahang (BPEN).


Sementara itu, di bawah kategori Anugerah Inovatif Terbaik, Mama Global International Sdn Bhd dan Ideal Beauty Alliance Sdn Bhd muncul sebagai pemenang Anugerah Inovatif Produk Makanan dan Minuman Terbaik manakala Anugerah Inovatif Produk Bukan Makanan Terbaik dimenangi Biotrophic Malaysia Berhad dan B-Crobes Marketing (M) Sdn Bhd serta Anugerah Inovatif Perkhidmatan Terbaik diberikan kepada Bizapp Ventures Sdn Bhd dan Sinisana Technologies Sdn Bhd.


Bagi kategori Anugerah Sosial Media Berimpak Tinggi, Central Sugars Refinery Sdn Bhd dan Suria Food Manufacturer memenangi Anugerah Promosi MIHAS Melalui Media Sosial Terbaik.

Anugerah Khas iaitu Anugerah Pencapaian Halal Terbaik dinobatkan kepada Fraser Neave Holdings Bhd (FN).


Semua penyampaian anugerah itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.


Sementara itu, pemenang Anugerah Pencapaian Halal Terbaik, Fraser Neave Holdings Bhd (FN) menyifatkan anugerah tersebut sangat bermakna memandangkan syarikat bakal menyambut ulang tahun ke-140 pada tahun depan.


Anugerah itu menyemarakkan semangat kumpulan tersebut untuk memperkasakan industri halal bukan sahaja untuk syarikat tetapi untuk Malaysia secara amnya.

"Kami akan cuba meningkatkan usaha untuk mengeksport produk kami ke luar negara. Kita dalam proses memperkasakan penawaran kami," kata Pengarah Hubungan Kerajaan dan Industri dan Hal Ehwal Halal, Datuk Raffiq Ariff ketika ditemui Bernama selepas majlis itu.


Sementara itu, Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Al'Ard Palestinian Agri-Products Ltd, Ziad S. Anabtawi yang memenangi Anugerah Reruai Pameran Antarabangsa berkata, sebagai generasi ketiga yang mengurus syarikat milik keluarga, beliau sentiasa bersemangat menghasilkan dan menawarkan makanan terbaik dari Palestin itu.

"Nama syarikat kami - Al'Ard membawa makna 'tanah' dalam bahasa Arab dan sebagai warga Palestin, kami percaya pada pertanian organik dan mesra alam kerana kami tahu pengambilan makanan yang sihat adalah sangat penting untuk mengekalkan tubuh yang sihat.

"Sehubungan itu kami mahu berkembang maju dalam melengkapkan pengetahuan tradisional dengan amalan kontemporari untuk menawarkan kepada pengguna produk yang berkualiti tinggi. Dalam mencapai usaha itu, kami telah membuka pejabat wilayah kami di Shah Alam, Selangor.


Pejabat ini akan menumpukan kepada pengembangan pasaran sedia ada kami seperti Malaysia, Jepun, Singapura dan Indonesia serta menembusi pasaran baharu di China, Taiwan, Thailand dan Pakistan. Kami sedang mengembangkan portfolio produk kami untuk membawa masuk lebih banyak produk pertanian tradisional Palestin," katanya.


Secara keseluruhan, kesemua 1,258 pempamer MIHAS 2022 adalah layak bagi pemilihan dalam Anugerah Reruai Pameran Malaysia dan Antarabangsa Terbaik, manakala bagi Anugerah Media Sosial dan Inovatif Terbaik, pempamer perlu mendaftar secara dalam talian.

Pemilihan pemenang bagi Anugerah Reruai dan Pavilion dinilai dari segi kreativiti serta keunikan reka bentuk, persembahan dan penampilan secara keseluruhan.


Pemilihan bagi Anugerah Inovatif pula telah menerima 61 penyertaan termasuk 37 daripada segmen Makanan dan Minuman, 14 pula adalah segmen Bukan Makanan, dan 10 penyertaan daripada segmen Perkhidmatan.


Selain penyertaan syarikat tempatan, penyertaan daripada syarikat antarabangsa turut diterima termasuk peserta pameran dari Kuwait, Indonesia, Thailand, Afrika Selatan, Palestin dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

-- BERNAMA

bottom of page