top of page
  • admin

Ringgit meningkat berbanding dolar pada sesi awal dagangan


KUALA LUMPUR, 19 April- Nilai ringgit meningkat berbanding dolar AS pada sesi awal dagangan hari ini apabila Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) meneruskan pendirian mereka terhadap kadar faedah dan ini boleh menjurus kepada kenaikan antara 25 hingga 75 mata asas lagi dalam tempoh terdekat. Pada 9.03 pagi, mata wang tempatan berada pada paras 4.4275/4320 berbanding dolar AS daripada kadar penutup Selasa pada 4.4315/4360. Bagaimanapun, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan ringgit akan kekal lemah memandangkan gandingan dolar AS/ringgit telah berada dalam kedudukan terlebih beli dari perspektif teknikal. “Ringgit dijangka berlegar sekitar RM4.44 berbanding dolar AS hari ini. “Sementara itu, keluaran dalam negara kasar China yang lebih tinggi daripada jangkaan pada suku pertama 2023 iaitu 4.5% yang dilaporkan semalam menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia akan mendapat manfaat daripadanya melalui perdagangan dan pelaburan dan ini seharusnya positif untuk ringgit dalam jangka sederhana,” katanya kepada Bernama. Dalam pada itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama. Mata wang tempatan meningkat sedikit berbanding yen Jepun kepada 3.3031/3067 daripada 3.3046/3082 pada penutup Selasa, lebih tinggi pada 4.8618/8668 daripada 4.8631/8681 berbanding euro dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.5034/5090 daripada 5.5101/5157 semalam.


Pada masa yang sama, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean yang lain. Ringgit menambah nilai berbanding rupiah Indonesia kepada 298.2/298.7 daripada 298.5/299.0 semalam dan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3242/3281 daripada 3.3265/3301 sebelumnya. Bagaimanapun, ia susut kepada 7.90/7.91 berbanding peso FIlipina daripada penutup dagangan Selasa pada 7.89/7.90 dan rendah berbanding bhat Thai kepada 12.9285/9477 daripada 12.9228/9416 sebelumnya. -BERNAMA

留言


bottom of page