top of page
  • admin

Bursa Malaysia dibuka mendatar


KUALA LUMPUR 11 April: Bursa Malaysia dibuka mendatar pagi ini menjelang pengeluaran data Indeks Harga Pengguna Amerika Syarikat (AS) serta beberapa siri laporan pendapatan bank untuk memulakan musim pendapatan.


Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 0.24 mata kepada 1,428.37 daripada penutup semalam pada 1,428.13.


Indeks utama dibuka pada paras 1,429.12, lebih tinggi sebanyak 0.99 mata. Pergerakan harga di pasaran menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 127 berbalas 107, manakala 240 kaunter tidak berubah, 1,759 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.


Jumlah dagangan 232.12 juta unit bernilai RM65.16 juta.


Menurut Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya hari ini, Wall Street ditutup bercampur-campur semalaman kerana pelabur mencari petunjuk baharu daripada data IHP AS yang akan dikeluarkan pada Rabu serta pendapatan bank-bank utama iaitu JP Morgan, Wells Fargo dan Citigroup minggu ini.


Selain itu, ia menjangkakan aktiviti memburu saham murah berterusan dengan mengharapkan pemulihan selanjutnya dalam pasaran buruh berikutan kadar pengangguran yang lebih baik, turun kepada 3.5 peratus pada bulan Februari.


Bagi fokus sektor pula, firma pembrokeran itu berkata pelabur mungkin memihak kepada kaunter minyak dan gas memandangkan harga minyak kekal kukuh.


"Pada masa yang sama, pelabur mungkin menyaksikan aktiviti memburu saham murah yang seterusnya dalam sektor defensif seperti telekomunikasi, perbankan dan keperluan pengguna.


"Sementara itu, sektor penjagaan kesihatan turut memperoleh momentum," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menokok dua sen kepada RM8.67, CIMB meningkat satu sen menjadi RM5.19, Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing tidak berubah pada RM3.89 dan RM7.40 manakala Tenaga Nasional susut enam sen kepada RM9.12.


Bagi saham aktif, Hong Seng, Leform dan Tanco masing-masing naik satu sen untuk mencatatkan harga 12.5 sen, 23.5 sen dan 47.5 sen, Barakah Offshore Petroleum menokok 1.5 sen kepada 6.5 sen manakala Dolphin International kekal pada 1.5 sen.


Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 1.79 mata kepada 10,502.88, Indeks FBMT 100 memperoleh 1.24 mata menjadi 10,185.96 dan Indeks FBM ACE menokok 2.85 mata pada 5,306.39.


Indeks FBM 70 pula susut 0.38 mata kepada 13,735.93 manakala Indeks Syariah Emas FBM turun 4.04 mata kepada 10,853.30.


Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengembang 19.10 mata kepada 15,723.22, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.05 mata kepada 174.21 dan Indeks Perladangan meningkat 5.29 mata kepada 6,813.01 manakala Indeks Tenaga susut 1.38 mata kepada 863.03.


-- BERNAMA

bottom of page