top of page
  • newsatmy

AHB umum agihan interim 2.35 sen seunit


7 April 2021 KUALA LUMPUR: Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) mengumumkan agihan pendapatan interim 2.35 sen seunit bagi dana Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) untuk tempoh enam bulan berakhir pada 31 Mac 2021.

Ia membabitkan 500,000 unit pertama yang dipegang oleh setiap pemegang unit dana anak syarikat Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera (YAHB) dan Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM) itu.

Dalam satu kenyataan, PHB yang juga yang juga penaja dana AHB berkata, jumlah itu terhasil daripada pengagihan pendapatan asas sebanyak 2.15 sen seunit dan pengagihan bonus berjumlah 0.20 sen seunit.

PHB berkata, agihan pendapatan ini dikecualikan daripada cukai yang sudah dizakatkan dan akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank pemegang unit pada 15 April ini. Sementara itu, Pengarah Urusan PHB, Datuk Mahmud Fauzi Muda, berkata pasaran adalah sangat mencabar dalam tempoh setahun terakhir ini disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Beliau berkata, pada 2020, PHB memperuntukkan sejumlah besar dana untuk 'Rent Relief Program' (RRP) bagi memberikan bantuan kepada penyewa yang terjejas.

PHB juga, katanya, memberikan peruntukan tambahan untuk RRP pada 2021. "Disebabkan sumber daya yang terhad, bantuan penyewaan diberikan untuk membantu penyewa runcit yang terjejas di pusat membeli belah dan juga di bangunan lain milik kumpulan.

"Walaupun terdapat gangguan ekonomi, kumpulan setakat ini berjaya menggantikan sebahagian besar penyewa yang hilang dengan penyewa baru," katanya.

Mahmud berkata, PHB secara aktif akan terus berusaha bagi memperoleh aset baharu terpilih, terutama dalam sektor industri dan penjagaan kesihatan. Beliau berkata, kumpulan juga dalam landasan yang tepat dengan merekodkan kemajuan dalam pembangunan beberapa projek hartanah.

Katanya, pembangunan sebuah hospital swasta baharu dengan kapasiti 300 katil bernilai RM340 juta di Kuala Lumpur sudah selesai pada September lalu. Selain itu, katanya, PHB baru-baru ini menandatangani perjanjian untuk membangunkan sebuah gudang berkeluasan dua juta kaki persegi di Shah Alam dengan kos sekitar RM500 juta.

"Gudang baharu ini akan disewakan sepenuhnya kepada syarikat logistik antarabangsa. Kami juga secara aktif dalam proses rundingan pembangunan hospital swasta baru di Selangor dan juga di Pantai Timur.

"Aset hartanah baharu kumpulan akan menyokong pengenalan bahagian baharu unit AHB dalam tempoh terdekat," katanya. -BH Online


bottom of page