• newsatmy

Ahli Parlimen sepatutnya gubal undang-undang, bukan kepalai GLC - Panelis

Updated: Jun 7

7 Jun 2021

KUALA LUMPUR: Orang politik yang menjadi Ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik rakyat sebagai wakil untuk membawa isu mereka ke Parlimen dan menggubal undang-undang yang membawa negara lebih tinggi.


Bukannya untuk mengepalai syarikat-syarikat korporat berkaitan kerajaan (GLC), kerana itu akhirnya akan timbul jua tembelang apabila syarikat terlibat diheret ke lembah masalah.


“Pelantikan GLC sekarang dijadikan satu senjata untuk membeli kesetiaan ahli politik dalam Parlimen.

“Ia merupakan satu ‘conflict of interest’ pada pandangan kita dan juga satu jalan untuk korupsi dalam negara kita,” kata Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann.


Jelas Thomas, itulah puncanya kepada amalan lompat parti apabila ahli politik tidak bertanggungjawab membelot kepercayaan rakyat demi bersama pihak yang dapat memberikan mereka jawatan.


Nawaitu atau niat seseorang ahli politik itu ketika zaman perang pandemik ini akhirnya diperlihatkan seorang demi seorang, mana yang hanya masuk politik untuk memenuhi poket sendiri dan mana sahaja yang benar-benar ikhlas berkhidmat untuk orangnya.


Maka, kata Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia, Datuk Akhbar Satar, kita dapat lihat dalam begitu ramai pemain politik, tidak ramai antara mereka adalah negarawan sejati.


“Ahli politik ini selalunya memikirkan tentang pilihan raya, sedangkan negarawan ini betul-betul memikirkan hal rakyat dan pastikan bahawa harta negara tak diseleweng dan juga memastikan bahawa generasi akan datang akan lebih baik dan negara ini akan terjamin untuk masa depan mereka.


“Jarang di Malaysia ini kalau kita mahu lihat ahli politik itu apabila dia masuk politik adalah untuk bekerja untuk masyarakat dan rakyat. Saya rasa kurang.”


Rakyat melihat, dan mereka hari ini sudah cerdik untuk mencari kebenaran yang akhirnya akan terbongkar walau sekeras mana pun mereka yang terlibat menafikannya.


Ia terlihat daripada beberapa siri pertuduhan salah guna kuasa dan korupsi para pemimpin politik di mahkamah melibatkan jumlah berjuta malah berbilion ringgit, yang lama-kelamaan jelas Akhbar mewujudkan persepsi negatif orang ramai terhadap sebarang pelantikan politk tidak kira di mana sahaja.


Bercakap tentang integriti, ia bukanlah isu yang hanya eksklusif untuk ahli politik sahaja.


Sebenarnya kita juga berdepan dengan masalah kejujuran dalam kalangan penjawat awam yang bekerja di pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan, staf swasta dan macam-macam lagi.


Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Integriti Malaysia, Nor’afiza Saim menyatakan kerisauannya terhadap keadaan hari ini di mana secara amnya sukar untuk mencari organisasi melibatkan kerajaan yang benar-benar bersih dan boleh dibanggakan.


“Saya rasa semua orang tahu menilai mana yang bagus dan yang tak bagus, tapi perlakuan mereka kebanyakannya bertentangan dengan nilai yang dia pegang. Sudah tahu salah, tapi buat juga.


“Integriti adalah melakukan perkara yang betul walaupun tiada siapa yang melihat.

"Semua orang sebenarnya bertanggungjawab untuk memperbaiki budaya integriti di negara ini, tak boleh nak kata salah sesiapa.


“Ia bermula daripada individu, setiap seorang kita kena berintegriti dan amalkan apa yang kita percaya.


"Sehingga setiap orang boleh berbuat demikian, barulah kita boleh dapat budaya integriti yang baik dan kita tak ada semua masalah ini.”


Ketika semua orang menggalas tanggungjawab untuk menyemai budaya kejujuran dan keikhlasan dalam diri sendiri, budaya sesebuah organisasi itu dibentuk daripada amalan mereka yang berada di kepimpinan dan pengurusan tertinggi.


Maka, ahli lembaga pengarah sepatutnya tidak terkecuali daripada disaring dan dinilai tahap integritinya supaya dapat dipastikan gerak kerja mereka sentiasa berlandaskan Tatacara Pengurusan Korporat yang telah digariskan.


-Astro Awani