• newsatmy

AirAsia terima anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik buat kali ke-10 berturut-turut

28 OKTOBER 2021

KUALA LUMPUR: AirAsia sekali lagi dianugerahkan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik di anugerah Business Traveller Asia-Pacific Awards 2021 buat kali ke-10 berturut-turut.


Anugerah itu hadir selepas syarikat itu menerima Anugerah Inovasi Perniagaan di World Airline Awards 2021 daripada pakar penerbangan di Flightglobal, selain Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia Skytrax 2021 untuk tahun ke-12 berturut-turut.


Selain itu AirAsia turut diangkat sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia 2021 dan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia 2021 di World Travel Awards pada awal bulan ini.


Anugerah Business Traveller Asia Pacific ini mengiktiraf syarikat terbaik dalam industri pelancongan dan hospitaliti, dan diundi oleh lebih daripada 30,000 orang pengembara serta pembaca majalah Business Traveller Asia-Pacific.


“Kami amat berterima kasih kerana para pengembara sekali lagi mengiktiraf AirAsia sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik. Maklum balas langsung daripada mereka adalah bukti kukuh terhadap komitmen kami untuk sentiasa memberikan nilai terbaik.


“Kami juga berbangga kerana semua inovasi yang telah kami laksanakan sejak kebelakangan ini untuk menjadikan penerbangan lebih bersih dan lancar tanpa sentuhan juga telah diiktiraf dalam anugerah ini.


“Memandangkan perkhidmatan domestik mula beroperasi di semua pasaran utama kami, kami kini menantikan pembukaan semula sempadan antarabangsa, dan akan kembali lebih kuat dan lebih baik dengan menawarkan lebih banyak pilihan untuk pengguna sebagai aplikasi perjalanan dan gaya hidup sehenti," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Limited, Bo Lingam.



* Artikel asal disiarkan di DagangNews.com.