top of page
  • Farah

AirAsia X catat untung bersiah RM153.48 juta untuk tiga bulan


KUALA LUMPUR, 21 Feb AirAsia X Bhd (AAX) mencatatkan keuntungan bersih RM153.48 juta untuk tiga bulan berakhir 31 Dis, 2022 dengan hasil kukuh sebanyak RM339.29 juta apabila membawa 337,638 penumpang, dirangsang oleh musim perjalanan yang memuncak pada akhir tahun.


Bagaimanapun, tiada angka perbandingan kerana tempoh kewangan AAX telah ditukar dari 31 Dis, 2020 kepada 30 Jun, 2021.


Dalam satu kenyataan, ia berkata purata tambang asas pada suku itu adalah rekod tertinggi pada RM866 yang diperkukuhkan oleh permintaan yang dijangka dan berterusan untuk perjalanan udara antarabangsa di rantau ini.


Hasil sampingan bagi setiap penumpang merekodkan RM196 pada suku tersebut, meningkat 17 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2019. Faktor Muatan Penumpang (PLF) terus sihat pada 79 peratus, naik enam mata peratusan dari suku sebelumnya dan menunjukkan lebih 97 peratus pemulihan bagi tempoh yang sama pada 2019.


“Metrik utama yang positif ini menyebabkan syarikat mencatatkan keuntungan operasi bersih sebanyak RM149.6 juta dan keuntungan bersih sebanyak RM153.5 juta. Syarikat juga berjaya mengukuhkan kedudukan tunainya, yang berjumlah RM181.9 juta setakat Disember 2022,” katanya.


Bagi tempoh 18 bulan terkumpul, ia mencatatkan untung bersih luar biasa sebanyak RM32.98 bilion disebabkan memasukan semula peruntukan dan pemansuhan liabiliti berjumlah RM33.6 bilion, hasil daripada penyempurnaan penstrukturan semula hutang syarikat pada 16 Mac, 2022.


AAX berkata dalam tempoh Oktober hingga Disember 2022, kumpulan itu berkata terdapat peruntukan RM600 juta untuk baucar perjalanan kepada penumpang dan ejen pelancongan.


Hasil dalam tempoh tinjauan pula berjumlah RM878.17 juta.


“Pada asas tahun kewangan penuh, syarikat melaporkan hasil sebanyak RM878.2 juta dan keuntungan bersih RM33 bilion, sebahagian besarnya dikaitkan dengan kembalinya operasi penerbangan penumpang berjadual pada separuh kedua 2022 apabila sekatan perjalanan semakin berkurangan.


Didorong oleh kembalinya permintaan selepas tempoh penutupan sempadan selama dua tahun, syarikat itu membawa sejumlah 417,195 penumpang pada tahun tersebut, dengan PLF yang sihat sebanyak 78 peratus.”


Bagi tahun 2023, syarikat itu menjangkakan untuk melancarkan semula lebih banyak destinasi yang menguntungkannya dan menantikan kembalinya ke China dengan pengumuman mengenai pembukaan semula sempadan negara pada Januari 2023, sebagai tambahan kepada penerbangan sulung yang dirancang ke Turki tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Benyamin Ismail.


“Terbaharu pada Februari 2023, kami menyambung semula perkhidmatan ke Busan, Korea Selatan dan menambah lebih banyak penerbangan ke laluan sedia ada dalam rangkaian kami,” katanya dalam kenyataan tersebut.


Syarikat itu optimis dengan trend tambang yang meningkat dalam tempoh terdekat kerana permintaan untuk perjalanan udara antarabangsa kekal tinggi.


“Walaupun kami menjangkakan ini agak rasional, kami tidak menjangka trend tambang menurun melepasi paras prapandemik. Semasa kami bangkit untuk memenuhi permintaan penerbangan yang semakin berkembang, kami bersungguh-sungguh dalam memastikan pesawat kumpulan syarikat akan beroperasi dalam garis masa yang ditetapkan, dengan semua keperluan keselamatan dipenuhi.


“Kami juga berada dalam pelbagai peringkat penglibatan dengan pemberi pajakan pesawat pihak ketiga untuk induksi pesawat tambahan dalam armada kami. Menjelang 2024, kami menjangkakan memiliki sejumlah 17 pesawat A330 dalam kumpulan kami, yang aktif dan beroperasi.”


Dari segi prestasi syarikat bersekutu, syarikat mengumumkan AirAsia X Thailand (TAAX) mencatatkan hasil sebanyak RM264.2 juta, dengan keuntungan bersih RM357.3 juta di atas keuntungan forex yang tidak direalisasikan; pengecualian keuntungan, keuntungan bersih teras TAAX ialah RM12.8 juta.


Kedudukan tunai TAAX bagi tempoh berakhir Disember 2022 berjumlah RM199.3 juta.


Bagi tahun ini, TAAX membawa sejumlah 279,707 penumpang, dengan PLF yang sangat tinggi sebanyak 88 peratus. Bermula Jun 2022, TAAX melancarkan penerbangan ke Seoul dan mengakhiri tahun dengan menambah Tokyo-Narita, Osaka, Sapporo, Sydney dan Melbourne dalam rangkaiannya.


Sehingga akhir Disember 2022, saiz armada AirAsia X berjumlah 14 pesawat A330, dengan tujuh pesawat diaktifkan dan beroperasi. Saiz armada TAAX untuk tempoh yang sama berjumlah lapan pesawat A330, dengan lima pesawat diaktifkan dan beroperasi.- BERNAMA

bottom of page