top of page
  • admin

Aliran keluar pelabur asing berjumlah RM338.7 juta minggu lepas


KUALA LUMPUR 6 Mac: Selepas dua minggu berturut-turut pembelian bersih, pelabur asing meninggalkan pasaran domestik minggu lepas dengan merekodkan jualan bersih ekuiti Malaysia bernilai RM338.7 juta, kata MIDF Research.


Menurut firma penyelidikan itu, terdapat jualan bersih oleh pelabur asing setiap hari pada minggu dagangan minggu lepas, kecuali Selasa yang menyaksikan aliran masuk sebanyak RM9.0 juta.


Setakat tahun ini, jumlah jualan bersih pelabur asing adalah sebanyak RM685.7 juta. "Jumlah aliran keluar bersih tertinggi direkodkan pada Isnin dengan nilai RM178.6 juta, manakala Rabu dan Khamis mencatatkan jualan bersih kedua dan ketiga tertinggi, masing-masing RM84.2 juta dan RM73.8 juta," kata MIDF Research dalam laporan aliran dana mingguannya.


Tiga sektor di Malaysia yang mencatat aliran masuk asing paling tinggi ialah tenaga dengan RM33.5 juta, pembinaan (RM24.8 juta) dan amanah pelaburan hartanah atau REITS (RM2.5 juta).


Sementara itu, sektor yang mencatatkan aliran keluar asing bersih paling banyak ialah kewangan (-RM121.0 juta), perindustrian (-RM80.0 juta) dan penjagaan kesihatan (-RM74.3 juta).


Institusi tempatan merupakan pembeli bersih ekuiti Malaysia, dengan jumlah aliran masuk bersih bernilai RM296.0 juta, dengan hanya urus niaga Selasa mencatat aliran keluar bersih sebanyak RM78.3 juta.

"Aliran masuk bersih paling tinggi dilihat pada Jumaat sebanyak RM168.9 juta diikuti Isnin (RM132.1 juta). Setakat tahun ini, institusi tempatan merekodkan belian bersih berjumlah RM736.8 juta," katanya.


Peruncit tempatan adalah pembeli bersih minggu lepas dengan mencatatkan sebanyak RM42.7 juta, dengan pasaran menyaksikan aliran keluar bersih RM55.1 juta pada Rabu.

Setakat tahun ini, MIDF Research berkata peruncit tempatan adalah penjual bersih ekuiti Malaysia dengan jumlah RM51.1 juta.


Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan bagi purata jumlah dagangan harian (ADTV) dalam kalangan institusi tempatan (+0.3 peratus) dan pelabur asing (+42.0 peratus) manakala peruncit tempatan menyaksikan penurunan sebanyak 6.3 peratus.

-- BERNAMA

Comments


bottom of page