top of page
  • newsatmy

Alliance Islamic Bank Bantu Usahawan Mikro B40 Bina Kekuatan Kewangan

22 November

Alliance Islamic Bank Berhad (“Alliance Islamic Bank” atau “Bank”) baru-baru ini berjaya menamatkan Economic Empowerment Programme (“EEP”) selama tiga bulan untuk 50 usahawan mikro B40.


Program ini yang ditaja oleh Bank dan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan People Systems Consultancy (PSC), EEP melengkapkan para usahawan mikro dengan pengetahuan praktikal mengenai inovasi perniagaan, pemasaran, analisis pelanggan dan pengurusan kewangan supaya mereka dapat menyara hidup mereka walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar. Ini membantu memperkasakan masyarakat berpendapatan rendah untuk berdikari dengan memperoleh pendapatan sebagai pemilik perniagaan. Para peserta dilatih untuk mengamalkan pengetahuan dari program ini semasa menjalankan perniagaan mereka. Selain itu, mereka telah meningkatkan pengetahuan perniagaan digital, dan memanfaatkan peluang untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka melalui platform digital. Hasilnya, purata pendapatan mereka telah meningkat lebih 300% selepas program mentor selama 3 bulan.


Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim, berkata, “Kami di Alliance Islamic Bank berganding bahu dengan masyarakat-masyarakat setempat untuk menggalakkan keterangkuman ekonomi di kalangan golongan miskin. Kami juga giat membimbing perniagaan yang memberi kesan positif kepada masyarakat. Perusahaan-perusahaan mikro merupakan cara yang berguna untuk mendedahkan para usahawan baru kepada perniagaan. Ia membantu mengasah kebolehan perniagaan mereka, menanam keyakinan kendiri, meningkatkan tahap pendapatan, di samping memberi limpahan manfaat kepada masyarakat setempat. Kami susunkan program keusahawanan yang menyediakan latihan kemahiran dan minda serta sesi pembelajaran bersemuka. Di samping itu, bimbingan dan tunjuk ajar mentor selama tiga bulan secara dalam talian juga diadakan.”

“Melalui pelbagai rancangan bantuan PKS yang ditawarkan oleh Alliance Islamic Bank, kami giat mewujudkan kerjasama dengan pelbagai pihak swasta, kerajaan dan NGO untuk sama-sama membantu membina daya ketahanan para usahawan mikro. Ini dicapai dengan melengkapkan usahawan-usahawan tersebut dengan pengetahuan, kemahiran, sarana dan sokongan yang berguna. Kami amat berbangga kerana program ini telah berjaya melatih seramai 50 orang usahawan mikro yang telah mencatatkan peningkatan dalam status sosioekonomi mereka,” tambah beliau.





bottom of page