top of page
  • newsatmy

Amal prinsip mesra pelaburan, syarikat solar mega labur RM42.2 bilion - PM

24 Jun 2021

KUALA LUMPUR: Malaysia sentiasa mengamalkan prinsip mesra pelaburan dan sentiasa mengalu-alukan kemasukan pelaburan baharu dan berkualiti ke negara ini.


Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelbagai galakan dan insentif disediakan kepada pelabur dan bakal pelabur selain menegaskan kerajaan akan memastikan pelaksanaan projek yang telah dirancang oleh syarikat tersebut berjalan dengan lancar.


"Alhamdulillah, trend kemasukan berterusan pelaburan asing berimpak tinggi ini tentunya menyuntik lebih keyakinan dalam kalangan komuniti pelabur luar terhadap prospek pemulihan ekonomi Malaysia selari dengan aspirasi Pelan Pemulihan Negara.


"Ini pastinya akan membawa manfaat besar kepada masyarakat dari segi peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau sebelum itu mengadakan mesyuarat secara maya bersama Pengerusi dan Presiden Syarikat Risen Energy Co. Ltd, Xie Jian, sebuah syarikat pengeluar kelima terbesar dunia bagi penghasilan panel solar.


Turut serta dalam mesyuarat itu adalah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman.


Ketika ini terdapat beberapa syarikat pengeluar global solar seperti Jinko Solar, Longi Solar, JA Solar, Hanwha Q Cell, First Solar dan Sun Power sedang beroperasi di Malaysia.


Pelaburan menerusi syarikat Risen Solar Technology Sdn. Bhd. itu telah menerima Lesen Pengilang dan Galakan Insentif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi aktiviti reka bentuk, pembangunan dan pengilangan panel solar di Malaysia dengan nilai pelaburan RM42.2 bilion.


Jelas Muhyiddin, beliau yakin kehadiran Risen Solar ini akan menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran berintegrasi bagi produk solar.


"InsyaAllah, pelaburan untuk tempoh lima belas tahun dari 2021 hingga 2035 ini dijangka akan menjana 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia selain syarikat itu juga akan menjalinkan kerjasama dengan universiti atau institusi tempatan dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk pengambilan pelajar secara internship," katanya


Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata pelaburan daripada syarikat Risen Energy ini merupakan satu kejayaan besar buat negara, sekali gus menunjukkan keupayaan pengurusan ekonomi Malaysia ketika dunia sedang bergelut dengan cabaran pandemik COVID-19.



--Awani

bottom of page