• Arissa Azman

Anak syarikat Sedania, Offspring tembusi pasaran Asia Barat

22 September 2021

KUALA LUMPUR: Sedania Innovator Bhd memperluas capaian globalnya berikutan anak syarikat 51 peratus miliknya, Offspring Inc, berjaya menembusi pasaran Asia Barat, bermula dengan Bahrain.


Dalam kenyataan hari ini, Sedania berkata susulan usaha terbaharunya itu, Offspring kini beroperasi di lima rantau, iaitu Asia, Amerika, Eropah, Afrika dan Asia Barat.


Offspring Inc adalah syarikat teknologi kesihatan yang khusus dalam penyelesaian penjagaan awal kanak-kanak, yang termasuk menghasilkan produk bayi organik berkualiti tinggi.


Pengarah Urusan Datuk Azrin Mohd Noor berkata syarikat bekerjasama erat dengan syarikat di Bahrain, dengan fokus kepada mengukuhkan kedudukan jenamanya selain memenuhi permintaan yang tinggi daripada pasaran baharu.


"Offspring turut merancang untuk berkembang ke negara-negara jiran seperti Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, dengan unjuran bahagian pasaran bernilai RM35 juta sebulan," katanya.




-- BERNAMA