• newsatmy

Aplikasi E-Desa platform kembangkan produk PKS

19 Mei 2021

KUALA NERANG: Cabaran sukar dunia perniagaan terutama ketika penularan COVID-19 selain penguatkuasaan beberapa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semestinya memberikan kesan besar kepada golongan peniaga kecil dan sederhana.


Aplikasi ini boleh juga dimuat turun melalui Google Play Store.


Menyedari hal itu, seorang pengusaha kedai pencetakan, Saiful Zaharin Zakariya, 44, tampil dengan inisiatif mewujudkan aplikasi E-Desa dalam menjadi platform terbaik mempromosikan produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) khususnya dari kawasan luar bandar.


Menurut Saiful, yang memiliki kepakaran dalam bidang IT, aplikasi yang ditubuhkan Ramadan tahun lalu, pada awalnya bertujuan membantu peniaga bazar Ramadan di Kuala Nerang menjual produk masing-masing secara digital susulan perlaksanaan PKP ketika itu.


Hari demi hari, peranan aplikasi E-Desa kini diperluaskan kepada bukan sahaja peniaga bazar Ramadan sebaliknya kepada pengusaha barangan kering, peniaga barangan basah, pengusaha inap desa, penjual sayur dan juga berbagai perkhidmatan lain yang melibatkan kumpulan PKS dari luar bandar.


Saiful menjelaskan peranan sektor digital merupakan satu perkara yang penting terutama di dalam era norma baharu memandangkan kesemua perkara boleh dibeli dan dijual, hanya dengan satu klik di peranti masing-masing.


Tambahnya, E-Desa juga bukan sahaja berperanan dalam memberikan nilai tambah atau mempromosikan produk PKS luar bandar dengan capaian yang lebih luas malah membuka peluang pekerjaan baharu kepada kumpulan penghantar makan serta 'runner'.


"Untuk aplikasi E-Desa ini kita hanya tumpukan kepada produk kita iaitu produk tempatan yang mana kurang mendapat tempat di platform lain, kita hanya fokus kepada produk desa sahaja dalam aplikasi E-Desa ini.


"Sekarang kita menuju ke era Revolusi Industri 4.0 dan platform digital ini salah satu cabang lagi untuk kita memperluaskan untuk memasarkan produk-produk orang kita."


Dalam pada itu, dia turut menzahirkan harapan agar lebih ramai peniaga kecil dan sederhana melibatkan diri didalam komuniti E-Desa.


Jelasnya, ketika ini, E-Desa bukan sahaja telah menembusi pasaran di negeri Kedah sahaja malah turut berkembang ke negeri Selangor dan Pahang.


Saiful turut berharap agar aplikasi yang diperkenalkannya dapat digunakan secara menyeluruh oleh seluruh rakyat Malaysia kelak.


Dia turut berharap agar aplikasi yang diperkenalkannya mampu menjadi platform terbaik dalam mengetengahkan produk PKS luar bandar di seluruh Malaysia.


"Saya menyeru kepada pengusaha-pengusaha produk tempatan di seluruh Malaysia gunalah aplikasi E-Desa ini bagi memajukan industri ini melalui platform E-Desa," tambahnya.

-Astro Awani