• newsatmy

Axiata catat kerugian bersih RM106.38 juta

26 Ogos

AXIATA Group Bhd mencatatkan kerugian bersih RM106.38 juta pada suku kedua 2022 berbanding keuntungan bersih RM277.75 juta pada suku yang sama tahun lepas, berikutan kerugian pertukaran mata wang asing berjumlah RM475.7 juta terutama daripada operasi mudah alih di Sri Lanka.


Daripada jumlah kerugian pertukaran mata wang asing itu, RM370.5 juta adalah kerugian pertukaran mata wang asing yang belum direalisasikan ekoran pendedahan kepada dolar Amerika Syarikat (AS) daripada pinjaman dan liabiliti dalam denominasi dolar AS.


Tidak termasuk kerugian pertukaran mata wang asing, keuntungan bersih kumpulan telekomunikasi itu meningkat 2.6 peratus kepada RM425.8 juta, dipacu oleh perolehan lebih tinggi serta susut nilai dan pelunasan lebih rendah, sebahagiannya diimbangi oleh kos kewangan dan cukai yang lebih tinggi selain keuntungan sekali sahaja yang rendah.

Perolehan bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2022 berjumlah RM6.7 bilion berbanding RM6.39 bilion pada suku yang sama 2021, menurut syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Jumaat.

Pemangku Bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Vivek Sood berkata, susulan prestasi operasi yang lebih baik, syarikat dijangka mengatasi petunjuk prestasi utama (KPI) keseluruhan bagi tahun ini dari segi perolehan tidak termasuk peranti serta pertumbuhan keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT).

"Impak pertukaran mata wang asing dan cabaran makro terutama di Sri Lanka, Bangladesh dan Nepal telah memberi kesan buruk kepada keuntungan syarikat.

"Bagi menangani hal itu daripada bertambah teruk, tumpuan serta-merta kami akan terarah kepada menyepadukan pembelian baharu, menguruskan mudah tunai dolar AS dan inflasi, khususnya di peringkat pasaran yang lebih kukuh dan menghapuskan kelemahan lembaran imbangan,” katanya.


Menurut Axiata perolehan daripada operasi Malaysia berkembang 3.2 peratus kepada RM1.68 bilion bagi suku yang sama, didorong terutama oleh peningkatan prestasi prabayar ditambah dengan sumbangan daripada anak syarikat baharu, Infront Malaysia dan Bridgenet Solutions.


Perolehan daripada operasi Indonesia dan Bangladesh pula masing-masing meningkat sebanyak 13.2 peratus kepada RM2.19 bilion dan 4.7 peratus kepada RM1.03 bilion manakala Nepal dan Kemboja masing-masing merekodkan perolehan RM365.4 juta dan RM393.5 juta, tambah syarikat itu.


Pemangku Bersama CEO, Dr Hans Wijayasuriya berkata dalam jangka sederhana, Axiata sememangnya menyedari risiko seperti kenaikan kos tenaga, kekurangan bekalan cip global dan kadar faedah tinggi di samping mengawasi kesan transaksi penggabungan dan pengambilalihan terutama tempoh penyelesaian, impak terhadap hutang kasar/keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan selain penyampaian sinergi.


Beliau berkata dalam melangkah maju, syarikat yakin dengan pembelajaran yang boleh digunakan seluruh kumpulan daripada inisiatif projek ‘Resilience - a Collective Brain’ yang digerakkan untuk mengukuhkan Dialog (Axiata Plc) dalam mengharungi cabaran hebat dan tekanan makroekonomi.

"Dalam menyesuai untuk pertumbuhan, matlamat kami adalah meningkatkan perolehan perniagaan, mengoptimumkan dan menskalakan semula kos serta menerima guna teknologi dan analitik secara giat untuk melindungi produk, rangkaian dan pengalaman perkhidmatan.

"Pada akhirnya, kami mahu melonjakkan daya tahan dan memacu penciptaan nilai jangka panjang seluruh kumpulan untuk memberi manfaat kepada pelanggan dan masyarakat yang mendapat perkhidmatan kami sebagai juara digital serantau,” katanya. - Bernama