top of page
  • newsatmy

Bajet 2023: Tumpu pembangunan PMKS agar lebih berdaya saing, kukuh



KUALA LUMPUR, 20 Sept- Bajet 2023 bakal memberi penekanan kepada pembangunan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) seiring sumbangannya dalam pertumbuhan ekonomi negara. Justeru, peluang itu disambut baik perwakilan dan usahawan PMKS yang turut memberikan cadangan agar PMKS lebih berdaya saing dan kukuh. Menurut Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputra WPKL, Datuk Seri Rosli Sulaiman peruntukan sebanyak RM180 juta diperlukan. Ia bagi mempertingkat kebajikan dan kesihatan para peniaga menerusi sistem IN2NIAGA yang mula dibangunkan Ogos lalu. "Kad ini diperuntukkan khususnya kepada masyarakat ini kerana kita dapati sebelum ini tidak ada usaha yang telah dibuat untuk membantu memastikan supaya mereka mendapat perlindungan daripada Perkeso. "Apa yang kita usahakan ini sebenarnya adalah satu kebajikan yang boleh kita beri kepada masyarakat tanpa kita mengambil kewangan daripada masyarakat itu sendiri," katanya kepada RTM.


Bagi Pengasas Agenda Suria Communication ASC, Jaggarao Simancha peluang kedua perlu diberikan kepada PMKS yang terpaksa menanggung beban hutang berpanjangan sejak pandemik melanda. "Untuk IKS yang kecil atau sederhana kecil diberi kelonggaran dan mengarahkan pihak bank untuk memberi pertolongan kepada golongan sasar ini...ini yang paling penting sekali," jelasnya. Beliau turut mencadangkan agar lebih banyak inisiatif berbentuk latihan dilaksana agar mereka lebih bersedia ke arah digitalisasi perniagaan global. "Kalau kerajaan dapat membuat program secara terus kepada semua IKS ini...saya rasa IKS di negara ini boleh bersaing bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau ini...ini yang paling penting sekali saya tengok," tambah beliau.


Selain itu, lanjutan moratarium juga perlu diberikan agar peniaga PMKS ini dapat pulih semula. "Supaya mereka dapat menjalankan perniagaan tanpa gangguan dan dapat memberikan pekerjaan kepada lebih ramai orang. "Jika diberikan moratorium ini PMKS akan dapat berjalan dan juga menolong 70 peratus daripada pekerjaan yang berada di negara ini," menurut Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Abd Halim Husin.

bottom of page