• admin

Bank dijangka masih raih manfaat daripada kos kredit lebih rendah, kenaikan OPR


KUALA LUMPUR,7 OKT: Bank dijangka masih meraih manfaat daripada kos kredit yang lebih rendah, faedah berkaitan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan pemulihan daripada sumber pendapatan bukan faedah pada masa depan, menurut MIDF Research dalam nota penyelidikan hari ini.


Katanya sektor perbankan sering sinonim dengan hasil dividen yang tinggi, dengan beberapa nama menawarkan hasil melebihi 4.0 peratus.


"Ini akan mengimbangi cabaran, iaitu kebimbangan mengenai kualiti aset, normalisasi perbelanjaan operasi, persaingan deposit yang tinggi dan pertumbuhan pinjaman yang sederhana berikutan normalisasi OPR.

"Bagaimanapun, kami berhati-hati mengenai kemungkinan Cukai Makmur 2023 diumumkan dalam Bajet 2023, yang boleh memberi tekanan penurunan kepada unjuran pendapatan dan harga saham," katanya.


Sementara itu, menurut firma penyelidikan tersebut, sejajar dengan permintaan pelanggan yang tinggi untuk mata wang asing (FCY) yang didorong oleh aktiviti perdagangan yang kukuh, hutang luar negeri bank telah pulih dengan ketara sejak bermula pandemik.


"Bagaimanapun, bank terus mengekalkan risiko sedemikian dengan baik," katanya, sambil menyatakan bebanan hutang tersebut adalah dalam bentuk pinjaman antara kumpulan, yang mengurangkan risiko pembiayaan semula.


Selain itu, katanya bank mengekalkan aset cair FCY yang besar - 2.6 kali meliputi "hutang berisiko" luaran jangka pendek (kira-kira paras sama seperti tempoh sebelum pandemik) manakala kedudukan terbuka bersih keseluruhan kekal rendah.

-- BERNAMA