top of page
admin

Bank Dunia naikkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia kepada 6.4%


KUALA LUMPUR, 3 Okt Kerajaan yakin sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di antara 5.3 peratus hingga 6.3 peratus bagi 2022 akan dicapai. Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Bank Dunia telah menaikan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia kepada 6.4 peratus bagi 2022 berbanding 5.5 peratus yang dianggarkan sebelum ini. Walaupun persekitaran ekonomi global amat mencabar, ekonomi Malaysia telah menunjukkan pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 5.0 peratus pada suku pertama dan 8.9 peratus pada suku kedua tahun ini. Ini antara lain disokong pelbagai strategi dan inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas, Bajet 2022, pakej rangsangan ekonomi dan pembukaan semula sempadan negara. Beliau menjawab pertanyaan wakil Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dalam sesi Pertanyaan bagi Jawab Lisan Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen.


Mengulas mengenai Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang meramalkan pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih rendah pada tahun depan, Mustapa berkata, Malaysia, sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka tidak terkecuali daripada terkena tempias daripada cabaran itu. Jelas beliau, langkah-langkah untuk menangani cabaran-cabaran itu akan diperincikan dalam Belanjawan 2023.

Comentários


bottom of page